SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengharapkan agar kerajaan baharu dapat meletakkan hak asasi manusia sebagai teras utama dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Menerusi satu kenyataan, Suhakam berkata, kerajaan seperti itu akan melaksanakan strategi tersusun untuk seboleh mungkin mempromosi, melindungi dan menyokong pendekatan hak asasi manusia.
Suhakam akan terus komited untuk bekerjasama dengan kementerian dan ahli Parlimen dengan mengemukakan syor-syor, selari dengan mandat yang diberikan di bawah peruntukan undang-undang untuk menasihati kerajaan berkaitan isu-isu hak asasi manusia.
"Suhakam berharap agar perdana menteri kesembilan dan jemaah menteri kabinet yang baharu akan memberi penekanan terhadap pembaharuan institusi dan amalan tadbir urus yang baik.
"Meskipun jelas bahawa perdana menteri dan kabinet baharunya perlu memberi tumpuan kepada usaha untuk menangani pandemik dan kesan terhadap ekonomi serta kesejahteraan rakyat, adalah amat baik sekiranya meletakkan hak asasi manusia sebagai teras utama,” katanya pada Khamis.
Mengulas lanjut, Suhakam menegaskan bahawa hak asasi manusia tidak seharusnya menjadi agenda sampingan.
Jelasnya, kerajaan yang bakal memerintah perlu menunjukkan komitmen untuk menghormati maruah manusia dan kebebasan asasi sepertimana yang dinyatakan di bawah Perkara 5 hingga 13 Perlembagaan Persekutuan.
"Ia berfungsi sebagai pemacu ke arah mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Lestari Malaysia dan seterusnya memulihkan harapan rakyat Malaysia serta menyuburkan amalan demokrasi,” ujarnya.
-end-