CADANGAN penubuhan persatuan sepak takraw baharu oleh G11 atau dikenali Gabungan Sepak Takraw Malaysia (GSM) bagi menggantikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak akan diteruskan.
Pesuruhjaya Sukan (PJS) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengadakan beberapa perbincangan dan rundingan bersama PSM dan wakil G11 mengenai langkah pemulihan PSM, termasuklah membuat semakan dan pindaan Perlembagaan PSM.
PJS menyatakan tindakan itu diadakan lanjutan daripada saranan bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican agar PSM dipulihkan dengan membuat penambahbaikan.
"PJS diberi amanah untuk menerajui semakan semula Perlembagaan PSM. Dua sesi rundingan bersama PSM dan wakil G11 diadakan pada 17 dan 28 Jun lalu bagi memperkemas dan menambah baik Perlembagaan PSM.
"Rundingan tersebut berjalan lancar dalam suasana amat harmoni. Kedua-dua pihak amat komited dan bersatu hati untuk melakukan pembaharuan demi kepentingan dan kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, draf akhir perlembagaan dikemukakan kepada kedua-dua pihak pada 22 Julai lalu selepas hasil perbincangan dan persetujuan bersama PSM dan wakil G11 pada 28 Jun lepas.
Menurut kenyataan itu, PSM kemudian disarankan mengambil tindakan selanjutnya supaya draf akhir perlembagaan dibentangkan dan diperakukan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).
PJS juga memberitahu telah memberi taklimat mengenai draf akhir perlembagaan kepada presiden dan wakil G11 menerusi satu sesi khas pada 11 Ogos lepas.
Sesi taklimat yang turut dihadiri 10 wakil persatuan sepak takraw negeri itu juga bertujuan memberi penerangan dan penjelasan mengenai draf Perlembagaan PSM baharu meliputi fasal-fasal baharu, pindaan-pindaan dan justifikasi ke atas pengubahsuaian yang dicadangkan.
"Semua presiden dan wakil G11 yang hadir secara dasarnya bersetuju dan menerima baik draf akhir Perlembagaan PSM yang dibincangkan dan dipersetujui pada 28 Jun dan mengharapkan pindaan perlembagaan tersebut dipersetujui sebulat suara dan tiada sebarang pindaan dibuat semasa EGM.
"Susulan keputusan Majlis Tertinggi PSM pada 29 Jun ke atas surat penarikan diri G11 sebagai ahli gabungan, PSM pada 13 Ogos lalu mengesahkan bahawa G11 masih lagi ahli gabungan PSM. Oleh itu sebagai ahli gabungan PSM, G11 perlu memainkan peranan dan tanggungjawabnya dalam EGM itu nanti,” katanya.
PJS yakin kemelut melanda PSM akan berakhir sekiranya langkah digariskan dipatuhi dan berjalan lancar selain bersedia menyokong permohonan PSM menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bagi membolehkan aktiviti pembangunan sukan itu digerakkan dengan lebih baik dan meneruskan kesinambungan legasi ditinggalkan sebelum ini.
Pada 20 Mei lepas, PSM disingkirkan ASTAF daripada menjadi ahli gabungan badan induk itu berkuat kuasa serta-merta selepas didapati bersalah susulan tindakan bekas presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail, sebagai Timbalan Presiden ASTAF, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Februari lepas.
Tindakan Ahmad itu mengundang padah apabila difahamkan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008 dan menyebabkan 11 persatuan bertindak keluar daripada PSM akibat hilang kepercayaan kepada beliau. - Bernama