F1 batalkan GP Jepun

Iklan
GP F1 di Litar Suzuka pada musim 2019, lalu. foto: Planet F1

PIHAK Formula 1 pada Khamis, memutuskan bahawa Grand Prix (GP), Jepun yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober depan dibatalkan berikutan penularan wabak Covid-19 di negara berkenaan ketika ini.

Menurut kenyataan media, pihak F1 menegaskan bahawa pembatalan GP berkenaan adalah kali kedua berturut-turut setelah perlumbaan bagi musim 2020 di Litar Suzuka itu dibatalkan atas alasan yang sama.

Iklan
Iklan

Malah difahamkan, perbincangan juga telah dibuat dengan kerajaan Jepun berhubung pembatalan berkenaan biarpun negara matahari terbit itu telah berjaya menganjurkan Sukan Olimpik Tokyo 2020, baru-baru ini.

"Berdasarkan kepada perbincangan berterusan bersama pihak penganjur, penaja serta pihak berkuasa di Jepun, keputusan muktamad telah dicapai untuk membatalkan perlumbaan F1 ini berikutan situasi penularan wabak Covid-19 di Jepun ketika ini.

Iklan

"Keputusan untuk membatalkan GP Jepun ini turut menyaksikan pembatalan dan penjadualan semula bagi beberapa perlumbaan di Australia, China, Kanada dan Singapura.

"Sebelum ini, GP Turki turut dibatalkan namun dalam perbincangan untuk diadakan semula, kelak,” menurut kenyataan berkenaan.

Iklan

Pembatalan bagi GP Jepun itu bakal menyaksikan saingan musim ini diteruskan pada GP Belgium yang berlangsung di Litar Spa-Francorchamps pada 29 Ogos ini.

Pada kenyataan media itu juga, pihak F1 turut menegaskan mereka sedang berusaha untuk menstruktur semula kalendar musim ini bagi menamatkan baki perlumbaan musim ini.

Menurut kenyataan itu lagi, sebarang keputusan berhubung penstrukturan semula kesemua perlumbaan berkenaan akan diumumkan kelak bagi memudahkan kesemua pasukan membuat persiapan.