SHAH ALAM - Kononnya dapat mengelak daripada kegiatannya dihidu polis, sindiket pengedaran dadah menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat di Brickfields, Kuala Lumpur sebagai tempat beroperasi.
Namun, hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Selangor dengan kerjasama JSJN Kontinjen Kuala Lumpur telah menyerbu rumah terbabit, Rabu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu berjaya menahan lima lelaki berusia lingkungan 38 hingga 55 tahun.
Menurutnya, semakan mendapati salah seorang suspek adalah warga Indonesia yang berasal dari Jakarta.
"Serbuan ini telah membawa rampasan enam bungkusan teh seberat 6 kilogram (kg) disyaki dadah syabu serta 16 bungkusan plastik lut sinar disyaki berisi dadah heroin base juga seberat 6kg.
"Dianggarkan kesemua dadah berjumlah RM1,596,000 ini adalah untuk pasaran tempatan dan tidak menolak kemungkinan untuk kegunaan di pusat hiburan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Beliau berkata, polis turut menyita tiga buah kenderaan jenis Honda Accord, Toyota Vios dan Proton Saga serta wang tunai berjumlah RM50,000.
Selain itu, semakan yang dibuat juga mendapati tiga suspek ini memiliki rekod lampau.
Tambah Noor Azam, pihaknya masih menyiasat lanjut berhubung pergerakan serta kaitan sindiket ini dengan sindiket lain, namun polis percaya sindiket ini menjadikan rumah tersebut sebagai stor simpanan dadah.
"Suspek yang juga bekerja sebagai jurujual, peniaga dan tukang masak ini kini direman tujuh hari sehingga 6 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.