Pasaran buruh suku kedua 2021 lebih baik berbanding tahun lepas

Iklan
Mohd Uzir

SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan, pasaran buruh pada suku kedua 2021 (ST2) lebih baik berbanding suku sama tahun sebelumnya, namun belum kembali kepada kedudukan sebelum pandemik.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan yang lebih baik itu ditunjukkan oleh peningkatan dalam penawaran dan permintaan buruh dan pengoperasian aktiviti ekonomi serta sosial yang lebih banyak dibuka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peningkatan penyertaan dalam tenaga buruh berbanding suku yang sama tahun sebelumnya ditunjukkan oleh pertambahan 0.2 mata peratus kadar penyertaan tenaga buruh kepada 68.3 peratus.

"Bilangan penduduk bekerja naik 2.2 peratus merekodkan 15.21 juta orang (ST2 2020: 14.88 juta orang). Sementara itu, bilangan penganggur berkurang 3.4 peratus kepada 764.9 ribu orang (ST2 2020: 791.8 ribu orang).

Iklan

"Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada suku kedua 2021 naik 1.9 peratus mencatatkan 15.97 juta orang (ST2 2020: 15.68 juta orang) manakala bilangan yang di luar tenaga buruh naik sebanyak 1.0 peratus merekodkan 7.42 juta orang (ST2 2020: 7.35 juta orang),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, dari sudut permintaan buruh, Mohd Uzir berkata, jumlah jawatan dalam sektor ekonomi bertambah baik dengan penyusutan tahun ke tahun yang lebih kecil sebanyak 0.4 peratus berbanding negatif 1.7 peratus pada suku sebelumnya mencatatkan sejumlah 8.35 juta.

Iklan

Tambahnya, dalam tempoh yang sama, peluang pekerjaan atau kekosongan jawatan yang merangkumi 2.1 peratus daripada jumlah jawatan, naik lima peratus kepada 178,000 orang berbanding 169,500 orang.

"Seiring dengan lonjakan pertumbuhan nilai ditambah sebanyak 16.1 peratus berikutan asas yang rendah pada suku yang sama 2020, produktiviti buruh per pekerja meningkat 13.6 peratus berbanding penurunan marginal 0.4 peratus pada suku sebelumnya.

"Sementara itu, produktiviti buruh per jam bekerja jatuh 12.8 peratus (ST1 2021: 0.4 peratus) berikutan peningkatan lebih besar dalam jam bekerja berbanding pertumbuhan nilai ditambah. Dalam tempoh ini, jumlah jam bekerja merekodkan pertumbuhan dua digit 33.2 peratus kepada 8.31 bilion jam,” ujarnya.

Menurut Mohd Uzir, berikutan prosedur iaitu langkah kawalan yang merangkumi sekatan berterusan aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih ketat berbanding suku pertama tahun ini menyebabkan momentum pemulihan pasaran buruh terjejas pada suku berkenaan.

Tambahnya, Malaysia terus berdepan dengan cabaran dalam menangani jangkitan pandemik Covid-19 dan mengurangkan kesan krisis ini kepada sistem kesihatan awam, terutamanya dengan kemunculan varian baharu.

"Walau bagaimanapun, dengan usaha vaksinasi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, sasaran imuniti kelompok dijangka akan dicapai dalam masa terdekat.

"Pelan Pemulihan Negara yang komprehensif dan dinamik juga telah diperkenalkan dan semakan terkini dengan kebenaran lebih banyak sektor sosial dan ekonomi beroperasi semula termasuk kelonggaran prosedur operasi standard bagi premis yang mempunyai pekerja dan pelanggan yang telah lengkap vaksinasi,” katanya.

Tambah beliau, dengan pembangunan pelan itu beserta penambahan pakej rangsangan terbaharu pada 2021, dijangka akan dapat merangsang aktiviti ekonomi dan mendorong pengambilan lebih ramai pekerja.

"Namun, selaras dengan semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah pada 2021, momentum pertumbuhan pasaran buruh dijangka akan meningkat secara beransur-ansur berikutan langkah berhati-hati perniagaan dalam menjalankan operasi bagi memastikan pandemik dapat dikawal,” ujarnya.