Sembilan peniaga hilang sumber rezeki

Iklan
Semua barangan di dalam kedai hangus terbakar

TANAH MERAH - Pemilik kedai di Bukit Bunga berharap ada pihak segera membantu mereka untuk membina semula deretan premis berkenaan yang terbakar pada Selasa lalu bagi memastikan penyewa masih boleh berniaga selepas ini.

Kamaruddin Che Ishak, 68, berkata, kedai tersebut dibinanya selepas dia bersara daripada berkhidmat di Jabatan Kerja Raya (JKR).

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia risau dan tidak lena tidur memikirkan nasib peniaga-peniaga berkenaan memandangkan mereka sudah kehilangan sumber mencari rezeki.

"Sebelum ini mereka (peniaga) bergantung harap pada jualan di kedai-kedai tersebut. Kalau saya tidak dapat bina semula, mereka tidak akan dapat meneruskan perniagaan. Lagipun mereka berniaga di sini sudah lebih 20 tahun. Saya buntu fikir nak cari duit untuk bina semula deretan kedai ini.

Iklan

"Dulu saya bermodalkan RM160,000 untuk bina semua deretan kedai ini namun kini bukan mudah untuk cari modal yang sama. Saya kasihan kepada peniaga yang terlibat,"katanya kepada pemberita pada Khamis.

Sebelum itu dia mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Datuk Mohd Adhan Kechik ke lokasi kebakaran di Bukit Bunga di sini.

Iklan

Seorang peniaga, Wan Zuraidah Wan Abidin, 35, berkata, dia bergantung sepenuhnya kepada perniagaan yang diusahakan di kedai itu bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Mohd Adhan (tengah) melihat kedai-kedai yang terlibat dalam kebakaran pada Selasa lalu.

Dia yang menjual pelbagai jenis kosmetik, pakaian dan makanan, kini hilang arah apabila kedai keduanya itu hangus sekelip mata dalam kejadian pada Selasa lalu.

"Ini kedai kedua saya. Kedai pertama pernah terbakar sebelum ini. Saya reda dengan kententuan ALLAH. Sejak 1 Muharam lalu saya memang tidak lena tidur kerana gelisah setiap hari. Tidak sangka rupanya inilah petanda buruk yang menimpa saya.

"Saya berharap ada pihak boleh bantu kami untuk bina kembali kedai ini supaya kami dapat memulakan kembali perniagaan," katanya yang kerugian hampir RM70,000 dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Mohd Adhan turut menyampaikan bantuan RM500 kepada peniaga yang terlibat dan memberitahu insiden tersebut telah dimaklumkan kepada beberapa agensi berkaitan untuk bantuan dan sebagainya.

"Kerajaan negeri sudah maklum. Insya-ALLAH kerajaan akan hulurkan sumbangan melalui Tabung Serambi Mekah. Mereka akan dibantu sebaik mungkin memandangkan kerugian agak besar antara RM30,000 dan RM500,000," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan sembilan peniaga menanggung kerugian selepas kedai mereka musnah dalam kebakaran di Pekan Bukit Bunga.