KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Dewan Negara mencadangkan supaya seorang wakil dapat dilantik sebagai senator bagi mewakili golongan terlibat dengan seni dan budaya bagi membawa permasalahan dihadapi dalam bidang itu serta memperjuangkan nasib golongan berkenaan.
Ahli Dewan Negara mewakili orang kelainan upaya (OKU), Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, beliau bersetuju dengan cadangan itu kerana pelbagai isu melibatkan golongan berkenaan dapat diperjuangkan.
"Saya setuju (cadangan melantik Senator mewakili seni dan budaya) sangat sebab banyak boleh kita lakukan dan wakilnya seharusnya dapat kita pilih secepat mungkin," katanya dalam sesi libat urus Senat, Obor Baharu Parlimen Malaysia secara maya pada Khamis.
Pada masa sama, Senator Datuk Razali Idris yang turut bersetuju dengan cadangan itu berkata tindakan segera perlu diambil bagi merealisasikan usaha tersebut.
"Berkenaan wakil seni dan budaya, saya bersetuju sangat dan kita kena ambil tindakan segera sebab mereka ini juga memerlukan seorang wakil untuk menyuarakan apa yang berlaku dalam kalangan penggiat seni dan budaya di negara, ini (pelantikan itu) penting," katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang mempengerusikan sesi tersebut mencadangkan supaya semakan dibuat terhadap kaedah pelantikan Ahli Dewan Negara dengan melihat semula sekiranya terdapat sektor yang tertinggal, antaranya seni dan budaya.
Senator Mohd Apandi Mohamad berkata selain yakin usaha melantik senator yang mewakili sektor seni dan budaya itu dapat dilakukan dalam masa terdekat, Ahli Dewan Negara yang mewakili kesatuan pekerja juga perlu dilantik.
"Kita minta wakil daripada kesatuan sekerja... ini cukup penting kerana (wakil kesatuan pekerja) mewakili hampir 10 juta penduduk Malaysia, ini kita kena beri penekanan," katanya.
Sementara itu, Ras Adiba memohon supaya menambah individu OKU bagi mewakili golongan itu sebagai Ahli Dewan Negara memandangkan 4.7 juta rakyat Malaysia adalah OKU dengan mengambil kira 15 peratus populasi sesebuah negara itu ialah kumpulan tersebut berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Saya seorang sahaja yang mewakili sahabat-sahabat OKU kita di negara kita. Justeru, saya pohon agar diberi peluang untuk kita adakan seorang atau dua lagi sahabat OKU (sebagai Ahli Dewan Negara)," katanya sambil memohon jumlah wanita di Dewan Negara juga dapat ditambah.
Selain itu, Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, beliau akan cuba sedaya upaya memberikan sokongan kepada liputan berita di Dewan Negara.
"Saya akan cuba sedaya saya di Bernama untuk berikan sokongan supaya subjek-subjek yang sahabat senator kita utarakan dapat diuar-uarkan di sana. Sudah tiba masanya masyarakat mengetahui dan memahami Dewan Negara itu penting," katanya. -Bernama