BALIK PULAU - Seorang lelaki meninggal dunia selepas terjatuh ketika sedang mengemas rumah yang baru surut daripada banjir kilat di Pulau Betong di sini pada malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, Mohd Zailan Zainuddin, 35, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika dibawa ke Hospital Balik Pulau kira-kira jam 12.15 tengah malam.
"Sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan bersama isterinya sedang mengemas rumah selepas dilanda banjir kilat susulan hujan lebat pada sebelah petang.
"Mangsa dikatakan terjatuh di pintu bilik pada jam 10.30 malam. Kejadian itu disedari isteri mangsa. Isteri dan adik angkat mangsa mengangkatnya lalu meletakkannya di atas katil," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, isteri mangsa terus menghubungi hospital untuk bantuan kecemasan.
"Pihak hospital cuba membuat bantuan pernafasan terhadap mangsa ketika tiba di rumahnya. Bagaimanapun, mangsa didapati berada dalam keadaan tenat.
"Pegawai perubatan kemudian membawa mangsa ke hospital namun disahkan meninggal dunia pada jam 12.15 tengah malam tadi," katanya.
Beliau berkata, polis sedang menunggu keputusan bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail berkata, isteri mangsa memaklumkan suaminya itu mempunyai rekod sakit jantung sebelum ini.
Menurutnya, ketika ini keluarga mangsa sedang menunggu keputusan ujian Covid-19 sebelum bedah siasat dijalankan.
"Mangsa meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata berusia tiga hingga 10 tahun," katanya.