Tak sempat jamah tart telur bersama rakan

Iklan
Nik Muhammad Haikal meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terlibat kemalangan berhampiran Kg Tebauk, Kuala Nerus pada Khamis.

KUALA NERUS - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak hanya sempat memberitahu dia telah membeli makanan kegemaran rakan baiknya sebelum meninggal dunia dalam kemalangan.

Mangsa, Nik Muhammad Haikal Nik Zulkifli, 18, memaklumkan kepada rakannya menerusi aplikasi WhatsApp 10 minit sebelum dia meninggal dunia selepas terlibat kemalangan berhampiran Kampung Tebauk di sini kira-kira jam 12.05 tengah hari pada Khamis.

Iklan
Iklan

Rakan mangsa, Ahmad Aiman Yaacob, 22, berkata, dia tidak menyangka arwah membuat kejutan dengan membeli kuih tart telur kegemarannya.

"Saya tak sangka dia ada beli kuih tart yang saya suka sebab kami pernah makan sama-sama dan dia tahu saya suka kuih itu.

Iklan

"Setengah jam sebelum kejadian, dia ada membuat panggilan video memberitahu mahu singgah rumah saya. Dalam jam 11.50 pagi kemudian menghantar gambar tart telur yang sudah dibeli dan menulis 'Aiman sukaa'," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Aiman, dia agak terkilan kerana tidak tidak sempat bertemu arwah dan hanya mengetahui kehilangan rakannya itu melalui maklumat yang ditularkan dan menerusi grup komuniti mereka.

Iklan

Katanya, kali terakhir dia bertemu rakan baiknya itu di sebuah restoran makanan segera di pusat bandar Kuala Terengganu pada petang Rabu.

Sementara itu, abang mangsa, Nik Muhammad Hakim, 28, berkata, adiknya yang telah lapan bulan bekerja sebagai penghantar makanan menunjukkan perubahan dan begitu komited dalam kerja sejak Isnin lalu.

"Biasanya dia keluar bekerja jam 12 tengah hari, namun sejak Isnin lalu arwah agak berubah. Jam 7 pagi arwah sudah keluar rumah untuk bekerja dan akan pulang jam 10 malam.

"Sebelum bekerja dengan Grabfood, dia pernah bekerja di sebuah kedai runcit selepas habis belajar," katanya.

Menurut Nik Muhammad Hakim, jenazah adiknya itu akan dikebumikan di Losong selepas urusan di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selesai pada Khamis.

Dalam kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke pusat bandaraya selepas menghantar pesanan pelanggan di Batu Enam di sini.

Sebaik tiba di selekoh motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebatang pokok yang terdapat di pembahagi jalan.

Mangsa yang tercampak ke laluan bertentangan dirempuh pula sebuah kereta Perodua Kancil yang dipandu lelaki berusia 30-an.

Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din mengesahkan kejadian.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.