ROMPIN - Lapan pusat pelancongan di Pahang masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan aktiviti di lokasi berkenaan dibuka semula kepada pengunjung.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim berkata, kesemua lokasi tersebut sudah mencapai imuniti kelompok lebih 80 peratus penduduk dewasa selesai menerima dua dos vaksin dan bersedia untuk menerima kehadiran pelancong tempatan.
"Bagi penginapan seperti hotel dan inap desa di lokasi berkenaan memang boleh terima pengunjung tetapi dari segi aktiviti air dan taman tema dan sebagainya masih belum dan kita sedang menanti keputusan daripada MKN.
"Pemain industri di kawasan berkenaan juga dikatakan sudah dihubungi oleh pelancong yang berminat namun mereka terpaksa membatalkan hasrat untuk berkunjung kerana aktiviti-aktiviti di lokasi berkenaan masih belum boleh dibuka,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Beliau ditemui selepas menghadiri Program Bantuan Prihatin Pahang Covid-19 Tahun 2021 Fasa 2 Bagi Pemandu Bot dan Pemandu Pelancong yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.
Lapan pusat tumpuan pelancongan itu adalah Taman Negeri Rompin, Taman Negara, Genting Highlands, Cameron Highlands, Pulau Tioman, Bukit Fraser, Kuala Gandah dan Janda Baik.
Sementara itu, Mohd Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman berkata, memandangkan musim tengkujuh hampir tiba, beliau berharap Pulau Tioman diberi kelulusan segera untuk menghidupkan semula aktiviti air yang sememangnya menjadi tumpuan pelancong ke lokasi tersebut.
"Mata pencarian penduduk di pulau itu boleh dikatakan 95 peratus daripada sektor pelancongan, jadi saya berharap sekurang-kurangnya mereka dapat beroperasi dalam tempoh sebulan sebelum tengkujuh bermula sekitar Oktober, kami mengharapkan ia dapat dibuka pada hujung Ogos,” katanya.
Beliau berkata, pemain industri di Pulau Tioman juga tidak mempunyai masalah dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan bersedia melakukan pemeriksaan ketat kepada pengunjung sejurus tiba di pintu masuk.
Mengenai program pada Khamis, Johari berkata, 107 pemandu bot dan pemandu pelancong sekitar Kuala Rompin di sini, menerima bantuan wang tunai secara pandu lalu yang diselaraskan oleh Tourism Pahang.
Penerima bantuan Sam Chan Pak Sing, 49, yang juga pemandu bot gembira dengan sumbangan wang tunai berkenaan memandangkan dia kini menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk perbelanjaan harian.
"Kami bukan sahaja terima pengunjung tempatan malah luar negara antaranya Singapura, apabila berlaku sekatan perjalanan kami tidak dapat cari makan dan terpaksa gunakan wang simpanan yang ada, apa pun saya berterima kasih dengan bantuan ini,” kata bapa kepada lima anak itu. - Bernama