Kempen PRK Semenyih lebih baik berbanding Cameron Highlands

Iklan
Petugas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat persiapan peti undi dan peralatan mengundi sebelum dibawa ke pusat pembuangan undi sempena Pilihanraya Kecil (PRK) N24 Semenyih yang berlangsung esok. - Foto Bernama

KAJANG - Perjalanan berkempen sepanjang tempoh bagi PRK DUN Semenyih berlangsung dengan lebih baik berbanding PRK Parlimen Cameron Highlands.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, secara keseluruhan kempen di Semenyih mempamerkan perbezaan positif kerana kurang menerima aduan.

Iklan
Iklan

"Apa yang dibangkitkan (aduan) bagi kempen (PRK) di Semenyih adalah sedikit dan berkurangan berbanding PRK Cameron Highlands, malah tiada laporan SPRM diterima... hanya membabitkan laporan polis sepanjang tempoh kempen.

"Di Cameron Highlands seperti kita tahu macam-macam aduan seperti pemberian wang, salah guna aset..tapi di sini berkurangan," katanya pada sidang media selepas meninjau persediaan akhir petugas SPR dan semakan isi peti undi di Pusat Penjumlah Rasmi Undi di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian di sini hari ini.

Iklan

Beliau turut memuji tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi menarik semula peruntukan RM80,000 yang diumumkannya bagi kerja penambahbaikan dewan serbaguna Dewan Haji Md Silin di Beranang, baru-baru ini.

"Saya kira itu satu tindakan yang baik dan perkembangan yang paling baik kerana ia tak pernah berlaku... SPR anggap itu satu kemajuan," katanya. Sebelum ini, media melaporkan Mohammaddin menarik semula peruntukan itu selepas menyedari tindakannya menyalahi akta ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan pengumuman peruntukan dibuat dalam tempoh berkempen bagi PRK DUN Semenyih.

Iklan

Mengulas persediaan SPR bagi menghadapi hari mengundi esok, Azhar berkata, segala persediaan teknikal, termasuk berkaitan peti undi dan dakwat kekal berjalan lancar.

"Seramai 996 petugas SPR bertugas di 24 pusat mengundi yang membabitkan 116 saluran... semuanya (persediaan) 100 peratus bersedia," katanya.

Azhar turut mengingatkan pengundi dan calon agar mematuhi segala peraturan yang ditetapkan ketika hadir ke pusat mengundi termasuk tidak memakai pakaian yang mempunyai logo, nama, simbol serta gambar parti dan calon bertanding.

Bagaimanapun, pakaian yang memaparkan tagline seperti 'bossku' dan 'maluapabossku' adalah dibenarkan, katanya.

Esok, 53,411 pengundi biasa layak menunaikan hak mereka untuk memilih wakil rakyat baharu selepas kematian penyandangnya, wakil PH, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

Sebelum ini, 676 daripada 951 pengundi awal membabitkan pegawai dan anggota polis dan pasangan mengundi awal pada 26 Februari lepas.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon muda PH Muhammad Aiman Zainali dengan Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng. - Bernama