Syarat sokongan PN undang semula ketidakstabilan politik

Iklan
Hamidah

IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyifatkan peletakan syarat tertentu oleh Perikatan Nasional (PN) dalam menyokong Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri akan memberi ruang kepada ketidakstabilan politik seperti sebelum ini.

Naib presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, kerajaan baharu yang ingin ditubuhkan perlu mendapat sokongan tanpa syarat daripada semua ahli Parlimen bagi menjamin kestabilan politik dan pentadbiran kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, syarat-syarat dikemukakan PN itu bertentangan dengan aspirasi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membentuk sebuah kerajaan sementara yang kukuh dan stabil serta tidak tergugat dengan permainan nombor seperti yang berlaku sebelum ini.

"Saya amat kesal dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti-parti PN menyokong Ismail Sabri dengan syarat-syarat tertentu.

Iklan

"Biarpun beliau menggariskan ketelusan dan integriti pentadbiran sebagai syarat dimaksudkan, namun sudah pasti wujud syarat-syarat yang dikenakan di belakang tabir demi perkongsian kuasa dan kepentingan politik.

"Saya bimbang kerakusan kuasa sesetengah pihak mungkin terus menggoyahkan kerajaan baharu dalam membendung usaha pemulihan negara dari impak sosio ekonomi pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Hamidah berkata, melihat kepada kemungkinan itu, alternatif lain mesti difikirkan bagi mengelak keadaan sama berulang.

Menurutnya, antara yang boleh dipertimbangkan adalah penubuhan Majlis Gerakan Nasional (Mageran) atau Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang akan berfungsi sebagai badan bebas bagi menguruskan pentadbiran negara.

Kata beliau, badan bebas tersebut merupakan solusi terbaik yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sementara ketika ini.

Katanya, Mageran atau MPN itu boleh dipengerusikan tokoh pemimpin negara yang mempunyai pengalaman pentadbiran luas, dihormati dan diterima semua pihak serta tiada cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri melalui PRU15 kelak.

"Tokoh tersebut mestilah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan tanggungjawab mengetuai badan bebas berkenaan dalam tempoh sehingga PRU15.

"Saya amat berkeyakinan bahawa Yang di-Pertuan Agong dapat menyelesaikan segala kemelut pentadbiran negara berdasarkan kearifan Seri Paduka Baginda dan mengikut lunas perlembagaan negara," katanya.

Jelas Hamidah, sekiranya Mageran atau MPN terpaksa direalisasikan, tokoh yang memimpin badan itu mesti berusaha membina semula permuafakatan politik nasional demi kestabilan dalam jangka panjang kepada negara.