FAKTOR kenaikan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) dan prestasi hasil Buah Tandan Segar (BTS) menjadi penyumbang kepada peningkatan pendapatan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) berjumlah RM339.66 juta, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding semasa bajet 2021.
PPPNP dalam satu kenyataannya berkata, pendapatan itu adalah bersamaan dengan peningkatan 109 peratus serta keuntungan berjumlah RM62.68 juta iaitu tambahan sebanyak 271 peratus.
Dalam kenyataan tersebut, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, di sebalik pelbagai cabaran ekonomi susulan pandemik Covid-19, PPPNP merekodkan pencapaian yang signifikan dengan faktor kenaikan harga MSM pada kadar purata RM4,022 setan menjadi penyumbang penting kepada kejayaan itu.
Saarani yang juga Pengerusi PPPNP berkata, lonjakan tersebut turut dipengaruhi oleh prestasi hasil BTS yang merekodkan 86,943 setan metrik bersamaan peningkatan lapan peratus berbanding bajet 2021 selain kenaikan dua peratus daripada Jun 2020, yang mana hasil BTS bagi tempoh tersebut berjumlah 85,034 setan metrik.
"Pada Jun 2019, pencapaian hasil BTS hanya mencatatkan jumlah sebanyak 74,801 setan metrik. Impak masalah kekangan tenaga buruh asing sangat minima berbanding dengan industri lain. Oleh demikian, pihak pengurusan dapat memastikan operasi perladangan beroperasi secara optimal serta berkesan,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PPPNP Bil.3/2021 yang berlangsung di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak hari ini yang diadakan bertujuan membentangkan prestasi kewangan PPPNP bagi tempoh Januari hingga Jun 2021.
Ketika ini, pihak pengurusan juga dalam fasa perancangan untuk melaksanakan lima projek berimpak tinggi yang dilihat berpotensi menyumbang kepada peningkatan pendapatan PPPNP dalam jangka masa panjang termasuk projek Konsesi Pengurusan Ladang Sawit seluas 5,385 hektar di Bintulu, Sarawak serta Pelaburan 20 Peratus Dalam Maju Perak Holdings Berhad (MHB).
Dalam pada itu, Saarani berkata, PPPNP melalui kebajikan sosial rakyat telah menyumbang sebanyak RM31.31 juta kepada kerajaan negeri, rakyat serta kakitangan PPPNP termasuk insentif COVID-19 yang berjumlah RM10.13 juta bagi tahun ini.
"Daripada jumlah keseluruhan itu juga, lebih RM2.6 juta dikhususkan kepada pemajak dan penyewa serta keusahawanan agrotani melibatkan pemberian moratorium, skim pinjaman, diskaun bayaran sewaan dan sebagainya,’’ katanya.
Selain itu, PPPNP turut memperuntukkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada setiap 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan ia akan disalurkan melalui setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membantu meringankan beban rakyat pelbagai golongan yang memerlukan dan terjejas disebabkan penularan wabak Covid-19.
"Perkara ini memperlihatkan bahawa fungsi PPPNP selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bukan sahaja menjurus terhadap memastikan perniagaan agar syarikat mampu mengekalkan prestasi terbaik dan merekodkan keuntungan semata-mata sebaliknya ia perlu dijalinkan dengan manfaat yang dapat dipulangkan kepada rakyat yang memerlukan,’’ tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan prestasi usahawan, Saarani berkata sehingga Jun tahun ini, PPPNP telah meluluskan lebih RM1.38 juta pinjaman kepada 64 peminjam yang merangkumi usahawan Perak dan seramai 11 individu penerima geran yang berjumlah RM37,000. - Bernama