Kajian klinikal Ivermectin jangka selesai September ini

Iklan
Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Dr Steven Lim Chee Loon

SHAH ALAM - Kajian klinikal ubat Ivermectin di Malaysia dijangka selesai pada bulan September ini bagi menentukan perlaksanaan untuk rawatan dan pencegahan Covid-19.

Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Dr Steven Lim Chee Loon berkata, kajian awal mendapati bahawa ia menunjukkan data yang positif tetapi dibuat dalam skala yang kecil.

Iklan
Iklan

Tambahnya, pelaksanaan kajian tersebut juga mendapat kritikan pakar-pakar kesihatan untuk menentukan kesahihan data tersebut untuk kegunaan rawatan atau pencegahan Covid-19.

"Sebab itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menyarankan semua orang nak gunakan ivermectin perlu gunakan dalam keadaan yang selamat dan menerusi kajian klinikal.

Iklan

"Mereka perlu memberi persetujuan dan sepanjang penglibatan akan dipantau dengan rapi tentang sebarang kesan sampingan yang akan berlaku dan dilaporkan serta mengkaji dos apa yang sesuai kalau kita nak gunakan ivermectin itu untuk Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Wacana Sinar edisi ke-282 yang bertajuk Ivermectin: Alternatif atau Racun yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Turut menjadi panelis Ketua Perkhidmatan Klinikal Penyakti Berjangkit KKM, Datuk Dr Mahirah Mustafa dan Ketua Unit Teknikal dan Kualiti Bahagian Farmasi Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Mohd Dziehan Mustapa manakala Edlynna Hanie Hamid selaku moderator.

Mengulas lanjut, Dr Chee Loon berkata, penggunaan Ivermectin di Malaysia popular disebabkan peningkatan kadar kes positif dan kematian semakin bertambah yang memberikan kerisauan kepada rakyat.

"Jadi apabila kita nampak mesej yang tular di media sosial terutamanya Whatsapp, Facebook kadang-kadang kita akan lihat tajuk yang sensasi seperti Ivermectin ini ‘miracle drug’ ubat ajaib untuk Covid-19.

"Saya rasa sebagai seorang rakyat biasa atau orang awam yang tiada pengetahuan tentang perubatan atau sains mereka senang terpengaruh dengan tajuk-tajuk sebegitu.

"Tetapi seperti doktor yang profesional kita kena melihat dengan lebih terperinci lagi adakah betul ini satu jenis ubat ajaib atau tidak. Kita kena lihat bukti sebab dalam bidang perubatan semua rawatan yang kita bagi itu berlandaskan bukti saintifik dan bukan pendapat seorang atau sekumpulan orang,” ujarnya.

Jelas beliau, Ivermectin bukan racun jika digunakan dengan cara yang betul untuk penyakit yang terbukti berkesan.

Walau bagaimanapun, jika digunakan dengan dos yang terlalu tinggi dan tidak dipantau rapi oleh doktor yang bertauliah, maka ia akan mendatangkan kesan sampingan yang teruk.

"Jadi untuk rakyat Malaysia yang sekarang yang masih degil nak makan ubat Ivermectin ini, saya nasihatkan kalau lah awak ada Covid-19 dan makan ubat ivermectin dan gejala semakin teruk serta bahaya tolong pergi ke hospital yang terdekat.

"Telefon ambulan untuk dapatkan rawatan yang sewajarnya jangan bergantung dan letak harapan yang terlalu tinggi terhadap ivermectin.

"Ini kerana, sekarang ini kita tiada bukti yang kukuh lagi untuk menyarankan penggunaan ivermectin untuk rawatan ataupun pencegahan,” katanya.