SESI persekolahan secara bersemuka yang sepatutnya dibuka pada 1 September ini ditangguhkan ke 3 Oktober depan.
Bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bagaimanapun berkata, ia akan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan.
Persoalannya, bersediakah ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah? Benar, semua guru dan anggota kumpulan pelaksana telah divaksin tetapi sejauh mana keberanian ibu bapa untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan sempurna di sekolah.
Bagi penulis sendiri, rasa bimbang itu tetap ada walaupun kita tahu anak-anak akan dijaga dan dikawal baik oleh pihak sekolah. Bimbang tetapi pada masa yang sama kita mahukan yang terbaik untuk anak-anak.
Rasa bersyukur juga apabila kementerian hanya membuka sekolah bagi kelas yang mengambil peperiksaan, manakala kelas-kelas lain dibuka berperingkat.
Sekurang-kurangnya pelajar yang akan menduduki peperiksaan itu tidaklah begitu ramai dan mudah untuk pihak sekolah mengawal pergerakan mereka.
Langkah dan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sangat tepat. Walaupun negara masih 'berperang' melawan musuh yang tidak nampak, namun kepentingan dan masa depan anak-anak perlu juga difikirkan. Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira keselamatan pelajar dan kebimbangan ibu bapa.
Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), tiada sekolah yang akan dibuka untuk negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Andai kata KPM buka sekolah untuk semua negeri, penulis yakin tiada ibu bapa yang berani hantar anak mereka ke sekolah, sementelah kes harian positif Covid-19 kadangkala mencipta rekod baharu setiap hari.
Keadaan itu telah dibuktikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tak sampai 50 peratus kedatangan murid ke sekolah. Masing-masing takut dan khuatir penularan Covid-19 di sekolah. Jika guru dan rakan-rakan sekelas dijangkiti, maka murid-murid yang menjadi kontak rapat perlu melakukan swab test.
Selepas itu, bermulalah episod kelas ditutup, pelajar dan guru dikuarantin dan akhirnya sekolah pula diarah tutup.
Penulis berharap pembukaan sekolah selepas ini dilaksanakan dengan lebih berwaspada agar pisang tidak berbuah dua kali.
Insya-ALLAH, kita yakin dengan perancangan yang telah disusun oleh KPM bagi memastikan semua kakitangan sekolah dan pelajar berada dalam keadaan baik serta dilindungi.
Kini ramai guru yang telah lengkap menerima dua dos vaksin, jadi kita mengharapkan yang terbaik demi kesejahteraan anak-anak.
Setakat 7 Ogos lalu, dilaporkan seramai 352,649 guru atau 85 peratus guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala bagi guru kelas peperiksaan pula merekodkan seramai 84,995 orang (95 peratus) guru telah divaksin.
Malah, seramai 54,930 orang atau 47 peratus melibatkan pekerja perkhidmatan sokongan termasuk operator bas atau van sekolah juga telah menerima vaksin.
Semoga proses vaksinasi menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang lebih selamat dengan amalan norma baharu dalam kehidupan.
Patuhilah prosedur operasi standard yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ingat, mencegah itu lebih baik daripada merawat.
Kepada ibu bapa, tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesihatan murid bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah. Pastikan anak-anak sihat dan tiada simptom sebelum membenarkan mereka ke sekolah.
* Sarinah Mat Kasim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Melaka dan Negeri Sembilan