Henti segera aktiviti musnah alam sekitar, ekosistem

Iklan
Alam sekitar dan persekitaran rosak teruk selepas tragedi kepala air berlaku dari puncak Gunung Jerai.

GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa semua aktiviti yang memusnahkan alam sekitar dan ekosistem yang mudah terjejas dihentikan segera.

Presiden SAM, Meenakshi Raman bersama Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dalam satu kenyataan berkata, pihak berkaitan perlu melakukan siasatan dan penyelidikan untuk mengetahui punca sebenar tragedi fenomena kepala air di Gunung Jerai, Kedah yang meragut nyawa serta berlaku kerosakan harta benda.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, tragedi itu perlu diteliti dan langkah pemulihan perlu diambil segera untuk mencegah kemusnahan alam sekitar seperti aliran lumpur, tanah runtuh dan banjir besar.

"Gunung Jerai merupakan kawasan sensitif alam sekitar yang mesti dilindungi dan tidak dimusnahkan. Ketika hujan lebat sejumlah besar kelodak dibawa turun dari cerun yang dilemahkan oleh penebangan hutan dan peningkatan aktiviti yang memusnahkan kawasan berkenaan,” katanya pada Khamis.

Iklan

Tambah kenyataan itu, kejadian itu mungkin bukan berpunca daripada aktiviti pembalakan sebaliknya kesan daripada penebangan hutan dan pokok.

"Ia susulan kejadian banjir berlumpur yang boleh dilihat menerusi rakaman video tular yang menunjukkan dengan jelas aktiviti pembukaan tanah.

Iklan

"Kami bersama-sama penduduk kampung di Bukit Singkir, Yan sudah lama membantah projek kuari di Hutan Simpan Gunung Jerai lebih 15 tahun lalu. Difahamkan aktiviti kuari itu dibenarkan oleh kerajaan negeri ketika itu walaupun melanggar Rancangan Tempatan Yan,” katanya.

Kata kenyataan itu, sepatutnya tiada sebarang pembersihan hutan dilakukan di kawasan sensitif alam sekitar namun menerusi imej daripada peta Google menunjukkan terdapat banyak pokok ditebang dan operasi perlombongan dilakukan.

"Anggaplah apa yang berlaku sebagai satu peringatan serius. Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor perlu bertindak dan tidak melihat ia sebagai takdir memandangkan tragedi ini jelas berpunca daripada aktiviti oleh syarikat yang dibenarkan, walaupun bertentangan dengan pelan strukturnya,” katanya.

Tambah kenyataan itu, penduduk yang terjejas menyifatkan kejadian itu umpama empangan pecah atau tsunami kecil ekoran aliran air yang deras serta mengakibatkan pokok dan jambatan runtuh sekelip mata.

"Laporan terkini panel antara kerajaan mengenai perubahan iklim menunjukkan hujan lebat dan kerap akan berlaku akibat pemanasan global.

"Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk membina daya tahan iklim selain mengambil langkah-langkah sewajarnya termasuk hentikan pembersihan tanah dan hutan terutama di kawasan alam sekitar yang sensitif,” katanya.

Kata kenyataan itu, kerajaan negeri juga digesa adakan siasatan awam bebas terhadap tragedi ini supaya dapat memahami sebab sebenar kejadian dan kelemahan serta apakah langkah pencegahan serta pemulihan yang perlu diambil.

Pada jam 5.30 petang Rabu, lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai dan taman perumahan di bandar Yan serta Gurun dilanda banjir kilat akibat fenomena kepala air.

Muhammad Sanusi menerusi kenyataan menegaskan tiada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai berikutan kawasan itu diwartakan sebagai Hutan Perlindungan.

Malah pihaknya juga memaklumkan banjir kilat yang berlaku disebabkan fenomena kepala air di puncak Gunung Jerai.