Kolam takungan tak mampu tampung isi padu air hujan

Iklan
Anggota Pasukan Penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai masih hilang. -Foto Bernama Gambar kecil: Shaharol Niza Omar

ALOR SETAR - Kolam takungan sementara yang berada di puncak Gunung Jerai dipercayai tidak mampu menampung isi padu air hujan yang terkumpul menyebabkan berlakunya fenomena kepala air pada Rabu.

Pakar Sistem Maklumat Geografi (GIS), Shaharol Niza Omar berkata, pembentukan kepala air terjadi apabila kolam takungan tidak lagi dapat menahan kapasiti air, seterusnya melimpah dan pecah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebaik sahaja kolam takungan terbabit pecah, ia mengakibatkan gelombang aliran air secara mengejut dalam kuantiti besar bermula dari kawasan tinggi.

"Gelombang air besar ini akan merempuh segala halangan termasuk batu, kayu, pokok selain membawa kelodak yang menghalang laluan di hadapannya.

Iklan

"Hujan berterusan selama lima jam menghimpunkan kuantiti air yang banyak. Hujan bermula pada 2 petang seperti dicatatkan di Stesen Hujan Gunung Jerai dengan taburan hujan 50 milimeter (mm) pada jam 3 petang.

"Taburan hujan kemudian meningkat kepada 250 mm dan kemuncaknya sekitar jam 7 petang dengan catatan 283 mm,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Iklan

Shaharol Niza yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRS Geospatial Solutions Sdn Bhd berkata, hujan lebat itu disebabkan oleh angin monsun barat daya yang bertiup di utara Semenanjung.

"Agak sukar untuk mengesan bila akan berlaku fenomena kepala air kerana kita tidak dapat mengagak saiz kolam sementara yang terdapat di kawasan puncak Gunung Jerai.

"Saiz kolam takungan atau empangan bawah tanah hanya dapat dikesan melalui kaedah pemetaan bawah tanah yang boleh dilakukan melalui teknologi satelit,” jelas beliau.

Beliau bagaimanapun berkata, penggunaan kaedah satelit 'remote sensing' (penginderaan jarak jauh) menggunakan 3D LiDAR (Light Detection and Ranging) dan dibantu dengan alatan tertentu mampu membuat pemetaan bawah tanah.

"Namun kos untuk kaedah ini amat tinggi. Di luar negara, penggunaan LiDAR agak meluas bagi tujuan Sistem Maklumat Geografi, pemetaan topografi (darat), pemetaan bathymetric (dasar laut) serta dalam membantu kes-kes kecemasan dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam kejadian petang Rabu, lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai dan beberapa taman perumahan di bandar Yan serta Gurun dilanda banjir kilat akibat fenomena kepala air yang menyebabkan kawasan berkenaan terjejas teruk.

Pandangan dari jauh Air Terjun Seri Perigi, yang terletak di Gunung Jerai. -Foto Bernama