KOTA BHARU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kali ini seharusnya memberi tumpuan penuh terhadap pemulihan negeri susulan penularan Covid-19.
Pemerhati Politik, Mohd Sayuti Omar berkata, kerajaan negeri sepatutnya tidak perlu terikat dengan pelan pemulihan di peringkat Pusat.
Menurutnya, setiap negeri mempunyai jumlah jangkitan yang tidak sama, malah tahap ekonomi juga berbeza yang memerlukan setiap negeri mempunyai pelan tersendiri untuk mengembalikan kestabilan ekonomi dan semangat rakyat untuk berdepan pandemik.
"Tidak perlu bincang perkara lain, Covid-19 di Kelantan masih menakutkan. Orang Kelantan takut dengan persekitaran semasa sebab kes banyak.
"Kerajaan perlu ada satu pelan bagaimana untuk kita hadapi perkara ini. Bagi motivasi pada rakyat mengikut keperluan dan keadaan semasa.
"Apa yang saya nampak, kerajaan masih lemah di situ, maka rakyat pun buntu," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengubah sikap berpolitik dan tidak melihat semua perkara boleh dipolitikkan sehingga menghimpit rakyat.
Pada saat rakyat sedang membina kembali ekonomi dan kehidupan mereka, Sayuti berkata, kerajaan sepatutnya memberi pelbagai galakan antaranya ialah pengurangan cukai dan sewa premis.
"Kita tahu rakyat nak bangun balik bukan mudah, kita nak bantu sepenuhnya pun tidak boleh. Maka cari jalan dan inisiatif supaya kita dapat bantu mereka dengan pengurangan cukai dan sebagainya.
"Apabila kerajaan tidak bertindak, maka rakyat pun terpaksa mengenakan cas yang tinggi untuk setiap urusan perniagaan termasuklah harga makanan dan sebagainya.
"Tindakan yang sedikit namun beri kesan kepada banyak pihak. Maka bincanglah ia sebaik mungkin dalam sidang DUN nanti. Rakyat menunggu apa sahaja perancangan kerajaan," katanya.