Dua saluran paip pecah akibat dihempap batu dibaiki bermula hari ini

Iklan
PBAPP akan membaiki dua saluran air mentah di Titi Kerawang bermula hari ini untuk kemudahan penduduk sekitar Balik Pulau.

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan membaiki dua saluran paip air mentah yang pecah di muka sauk air Titi Kerawang, Balik Pulau bermula hari ini.

Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya menggerakkan pasukan pembaikan saluran paip kecemasan untuk membaiki kerosakan itu yang berpunca dari jatuhan batu akibat cuaca buruk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati, dua saluran paip air mentah rosak di kawasan muka sauk air mentah terletak di lereng bukit hutan di Balik Pulau.

Katanya, kejadian itu menjejaskan bekalan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Pinang yang sebahagian besarnya membekalkan air terawat kepada pengguna di kawasan Balik Pulau.

Iklan

"Batu-batu yang jatuh merosakkan saluran paip air mentah 150 milimeter (mm) dan 225mm. Saluran air ini menyalurkan air dari muka sauk air mentah ke LRA Sungai Pinang terletak kira-kira 500m ke hilir.

"Susulan daripada kejadian itu, kapasiti pengeluaran LRA Sungai Pinang telah terjejas. LRA Sungai Pinang mengeluarkan purata 12.9 juta liter sehari (JLH) air terawat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, PBAPP juga mengaktifkan pelan kontingensi untuk mengepam air terawat tambahan dari rumah-rumah pam Teluk Kumbar dan Teluk Bahang bagi meminimumkan impak kejadian tersebut terhadap perkhidmatan bekalan air di Balik Pulau.

"Pada masa sama, pasukan lori tangki air PBAPP bersiap sedia untuk menghantar air terawat kepada pengguna yang tinggal di kawasan tinggi atau di kawasan hujung saluran paip (EOL).

"Pasukan pembaikan saluran paip kecemasan PBAPP juga dikerahkan ke lokasi hutan untuk melaksanakan penyelesaian paling rasional dengan pantas dalam menyambungkan semula saluran paip yang pecah.

"Mulai hari ini, PBAPP memberi keutamaan kepada kerja-kerja pembaikan saluran paip ini untuk mengurangkan kesulitan kepada penduduk yang tinggal di Balik Pulau," katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan membaiki saluran paip secepat mungkin dan memulihkan perkhidmatan bekalan air di Balik Pulau.