TAIPING - Kementerian Sumber Manusia mengusahakan pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 pada bulan Mac ini bagi menekankan tanggungjawab pemaju dan pereka bentuk sesuatu projek pembinaan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan di tapak kerja mereka.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, Ir Omar Mat Piah berkata, inisiatif membolehkan pihaknya memfokuskan kepada sektor pembinaan di mana peraturan akta itu sebelum ini hanya menjurus kepada kepentingan tanggungjawab kontraktor dilantik dalam sesuatu projek pembinaan semata-mata.
Menurutnya, pihaknya menyifatkan kawalan kemalangan tempat kerja perlu bermula di peringkat awal, di mana dalam sektor pembinaan, pemilik dan pereka bentuk memainkan peranan besar dalam perlaksanaan sesuatu projek pembangunan.
"Usaha pindaan akta itu kini sedang dibawa Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran di peringkat Peguam Negara dan dijangka akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen pada bulan Mac ini.
"Pindaan akta berkenaan juga memastikan panduan OSH CIM menyatakan secara jelas tanggungjawab pemilik, pereka bentuk sesuatu projek pembangunan dan kontraktor melaksanakannya adalah sama berat dalam memastikan keselamatan dan kesihatan di tapak kerja mereka terjamin, dikuat kuasakan menjadi satu peraturan.
"Justeru dengan pindaan akta berkenaan kelak, tiga pihak penting dalam sektor pembinaan iaitu pemilik, pereka bentuk dan kontraktor sesuatu projek pembinaan akan lebih bekerjasama memastikan setiap garis panduan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dipatuhi sekaligus mengelakkan berlaku kemalangan di tempat kerja," katanya kepada media sewaktu melancarkan Program Ops Cegah Jatuh Cegah Runtuh Kebangsaan di Kawasan Perindustrian Kamunting Raya, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah JKKP Perak, Ir Zamzurin Maarof dan Pengarah Urusan Kajima Berhad, Hiroyuki Otaka.
Dalam perkembangan lain, Ir Omar menegaskan JKKP kini giat menjalankan Operasi Cegah Jatuh Cegah Runtuh dengan mengadakan lawatan mengejut ke lebih 450 tapak bina di seluruh negara bermula 25 Februari hingga 24 Mac ini.
Menurutnya, operasi dijalankan bagi memastikan tahap pematuhan Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 selain meninjau tahap keberkesanan langkah pencegahan diambil dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak binaan.
"Operasi kali ini lebih menumpukan aktviti kerja di tempat tinggi dan kerja-kerja konkrit di kawasan pembinaan.
"Projek pembinaan boleh mengundang pelbagai risiko dan bagi rekod tahun 2018, kadar kemalangan maut adalah tiga kali ganda daripada purata kadar kemalangan maut di tempat kerja.
"Apabila diperincikan, jumlah kemalangan di tapak pembinaan adalah sebanyak 205 kes manakala bagi kemalangan maut seramai 113 orang," katanya.
Ir Omar berkata, setakat bulan Februari lalu, JKKP menjalankan pemeriksaan di 962 tapak bina di seluruh negara dengan sejumlah 1,239 notis diberikan serta 46 kesalahan dikenakan kompaun.
"Selain itu, tiga kes didakwa di mahkamah dalam tempoh itu, sekaligus menjadikan jumlah kes kemalangan membabitkan sektor pembinaan didakwa sejak tahun lepas adalah 228 kes.
"Justeru, saya menggesa semua pihak di industri pembinaan menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan keselamatan dan kesihatan tempat kerja mereka terjamin," katanya.