IPOH - Seorang warga emas didakwa atas pertuduhan membunuh dengan mengelar leher isterinya di Gopeng, minggu lalu.
Prosiding kes itu dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Jumaat kerana tertuduh, Lim Hon Koi, 72, menerima rawatan radang usus.
Hon Koi didakwa telah mengelar leher isterinya, Chan Moy, 74, dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu telah menyebabkan kematiannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik tingkat bawah sebuah rumah di Taman Desa Cahaya, Gopeng antara jam 8 malam pada 8 Ogos hingga 7.30 pagi 9 Ogos lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh dari Mahkamah Majistret Kampar namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nur Faizah kemudiannya menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, laporan kimia dan toksikologi.
Pada 9 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita warga emas ditemui mati dengan kesan kelar dileher dipercayai dibunuh oleh suaminya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Taman Desa Cahaya di Gopeng.
Mangsa berusia 74 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil di bilik tingkat bawah rumah dua tingkat itu oleh cucunya sekitar jam 7.30 pagi.