KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) tidak mewajibkan ahlinya membuka premis masing-masing bagi tujuan pelanggan makan di premis (dine-in), sebaliknya bergantung kepada kesediaan pengusaha sendiri untuk berbuat demikian.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, apa yang penting bagi ahli persatuan, ialah mereka perlu memastikan hanya petugas lengkap divaksin dibenarkan untuk bekerja.
"Pengumuman ini sesuatu yang melegakan buat pengusaha restoran khususnya di kawasan Fasa Satu PPN (Pelan Pemulihan Negara) dan kita sarankan kepada ahli agar menyediakan petugas khusus untuk menyemak sijil digital vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahtera pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, bagi mencegah sebarang risiko penularan Covid-19, pemilik premis disarankan kerap mensanitasi meja makan dan kerusi sebelum serta selepas digunakan pelanggan.
Katanya, pengusaha restoran dan permis makanan serta pelanggan juga dinasihatkan agar mematuhi semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti dine-in bagi individu lengkap divaksin.
Pada Khamis, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan kebenaran aktiviti dine-in mulai Jumaat bagi premis makanan di kawasan berstatus Fasa Satu PPN, namun terhad bagi pelanggan yang lengkap divaksin.
Antara kelonggaran lain bagi individu lengkap divaksin di kawasan Fasa Satu PPN ialah aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi pasar malam dan pasar minggu.
Sementara itu, Jawahar Ali berkata, ahli persatuan turut disaran mempamerkan poster atau gegantung makluman mengenai semua petugas premis telah divaksin bagi meningkatkan keyakinan pelanggan masing-masing.
"Kita juga berharap pelanggan berdisplin dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan ketika makan di premis terutama jika membawa keluarga dengan anak-anak berusia 17 tahun ke bawah,” katanya. - Bernama
Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar Seremban, Negeri Sembilan mendapati pelanggan mula mengunjungi restoran dengan pemantauan SOP rapi oleh pekerja restoran.
Pelanggan diminta menunjukkan sijil vaksinasi lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera selain diingatkan memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal serta tidak mengambil masa yang lama ketika berada di restoran.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya akan terus menjalankan penguatkuasaan setelah beberapa aktiviti dibenar kepada individu yang lengkap divaksin.
Di Johor, kebanyakan pengusaha restoran dan kedai makan di sekitar Johor Bahru pula masih belum bersedia membenarkan pelanggan yang lengkap divaksin menikmati hidangan di premis mereka walaupun kelonggaran telah diberi.
Pengusaha Hj Wahid’s Mee Rebus, Abdul Halim Wahid, 65, berkata pihaknya memilih untuk menunggu arahan SOP baharu sebelum membuka sepenuhnya ruangan untuk 'dine-in' di kedai makannya.
"Buat sementara waktu ini saya hanya membenarkan pelanggan untuk bungkus sahaja kerana saya perlu menunggu dahulu arahan selanjutnya daripada pihak berkuasa tempatan mengenai kebenaran pelanggan makan di dalam premis," katanya ketika ditemui Bernama di kedai makannya di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Datuk Mohd Hafiz Ahmad berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada kerajaan negeri berhubung kemudahan tambahan melibatkan beberapa sektor sosial dan ekonomi bagi individu lengkap vaksinasi di negeri Fasa Satu PPN.
Beliau berkata, ia bagi memastikan semua pihak terutama peniaga dapat membuat persediaan awal berikutan rata-rata peniaga dilihat belum melakukan persediaan.
Di Melaka, kebenaran makan di restoran kurang mendapat sambutan daripada peniaga dan juga pelanggan, malah pelanggan memilih untuk membungkus makanan manakala peniaga pula kebanyakannya hanya menjual makanan untuk dibawa pulang.
Peniaga kedai makan di Lorong Pandan, Ashakri Mamat, 57, berkata walaupun kebenaran itu antara perkara yang dinanti-nantikan terutama dalam kalangan peniaga, namun ia dilihat kurang sesuai dilaksanakan dalam ketika kes Covid-19 di negeri itu masih tinggi dan merekodkan tiga angka sehingga semalam.
"Saya tidak berani untuk menanggung apa-apa risiko dan takut sekiranya penularan Covid-19 berlaku di kedai makan ini, lagi pun banyak SOP yang perlu dilakukan untuk melaksanakan aktiviti 'dine in'," katanya. -Bernama