GEORGETOWN - UMNO dan Pas perlu mengaktifkan semula Muafakat Nasional (MN) di peringkat akar umbi bagi memastikan kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu itu tidak terjejas.
Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussuf Latiff berkata, MN juga dinasihatkan supaya tidak sekadar retorik dan alpa dengan amanah yang dipertangungjawab oleh Perhimpunan Ummah yang dimeterai pada 14 September 2019 itu.
Amanah itu ujar beliau, perlu digalas dengan baik dan bukannya terbuai dengan jawatan atau kedudukan yang ada.
"Sikap seperti itu akan menghilangkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap MN. MN tidak harus sekadar menjadi retorik politik.
"Mereka harus menterjemahkan Piagam MN untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti dan membuktikan bahawa komitmen memperkukuhkan perpaduan serta kerjasama antara kedua-dua parti yang terbesar Melayu sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Yussuf turut menyarankan MN melaksanakan aktiviti secara bersama dari peringkat nasional hingga ke akar umbi dengan mendekati rakyat untuk membuktikan bahawa MN dapat memperkukuhkan Perpaduan Ummah.
"Sempena mengambil semangat hari ulang tahun yang ke-64 Kemerdekaan Negara yang bakal disambut beberapa hari lagi, MN perlu menganjurkan satu aktiviti yang berorientasikan keselamatan, kesejahteraan, kebahagian, kemakmuran dan kesatuan rakyat Malaysia.
"Saya pasti MN dapat menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah secara bersatu dan mengenepikan perbezaan fahaman politik demi kelima-lima orientasi tersebut," katanya.
Ujarnya, ketika MN digagaskan, rakyat Malaysia ingin melihat perpaduan ummah yang boleh dijadikan panduan dalam politik baharu di Malaysia.
"Setelah penyertaan kedua-dua parti itu dalam Perikatan Nasional (PN), MN dilihat tidak lagi agresif seperti sebelumnya. Adalah menjadi harapan saya dan orang Melayu di peringkat bawahan agar penyertaan kedua-dua parti itu dalam PN tidak membantut matlamat dan hala tuju MN.
"Matlamatnya sebelum ini adalah ke arah kejayaan dan perpaduan ummah untuk kemajuan dan kestabilan negara.
"Oleh itu, saya menggesa sekali lagi supaya MN menggerakkan aktiviti bersama UMNO dan Pas di peringkat bahagian dan cawangan mulai sekarang," katanya.