Gelandangan warga India didakwa rogol, bunuh warga emas

Iklan
Gelandangan warga India P. Ponloganadhan, 60, (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan membunuh dan merogol Chua Shew Hoo, 63, warga tempatan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 pada 26 Julai lalu. Foto Bernama

SHAH ALAM - Seorang lelaki gelandangan warga India dihadapkan ke dua mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan membunuh seorang wanita warga emas bulan lepas.

Di Mahkamah Majistret, P. Ponloganadhan, 60, didakwa membunuh wanita tempatan berusia 63 tahun itu di lorong belakang sebuah kedai di Jalan Damai 25/60 Taman Sri Muda, di sini, antara jam 1.12 pagi dan 2 pagi pada 26 Julai lepas.

Iklan
Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Iklan

Di Mahkamah Sesyen, Ponloganadhan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita itu di tempat, tarikh dan masa sama dan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Helina Sulaiman tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 November depan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Uzair Abd Munir dan Ainul Amirah Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Thiru Logeswary. - Bernama