MELAKA - Ramai peniaga di negeri ini belum bersedia untuk membenarkan pelanggan yang lengkap suntikan vaksin Covid-16 menikmati makanan di premis walaupun kerajaan mengumumkan boleh berbuat demikian bermula Jumaat.
Seorang pemilik kedai sarapan pagi di Rosman Malik, 51, peningkatan kes di negeri itu menyebabkan dia bimbang untuk memanfaatkan kelonggaran tersebut lebih-lebih lagi kawasan di Lorong Pokok Mangga terdapat kluster Covid-19 yang masih aktif.
"Saya masih tidak membenarkan pelanggan makan di premis ini kerana kawasan kami masih banyak kes dan bimbang akan berlaku pertambahan.
"Setakat ni pelanggan memahami dan tidak mempertikaikannya malah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka biasa membungkus makanan sahaja," katanya.
Bagi peniaga roti canai di Medan Selera Limbongan, Faizal Mohd Yusof.51, berkata, dia juga belum bersedia kerana keliru dengan perubahan dan ketetapan SOP yang diumumkan kerajaan pada Khamis.
Menurutnya, tiada masalah untuk mengikuti SOP tersebut termasuk akan memperbanyakkan meja dan kerusi kerana lokasi kedai terletak di bangunan dan ada ruang.
"Kami menyambut baik kelonggaran itu kerana inilah masanya untuk kita bangun semula ekonomi kita selepas mengalami pengurangan pendapatan.
"Bagaimanapun, saya masih keliru dan tidak mahu mengambil risiko untuk membenarkan pelanggan makan di premis. Mungkin beberapa hari lagi mereka boleh makan di sini selepas semua persediaan dilakukan," katanya yang mengusahakan kedai makan di Taman Merdeka, Batu Berendam.
Seorang lagi peniaga, J Suthagar 35, turut sependapat dengan Faizal yang menganggap keputusan kebenaran itu diumumkan secara drastik sehingga tidak sempat membuat sebarang perubahan untuk menyusun kerusi dan meja.
"Memang tak sempat pada hari ini kerana saya juga kekurangan pekerja untuk menyemak sijil digital vaksinasi," katanya
Sementara itu, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Mohd. Nasrul Menhat berkata, semua premis perniagaan boleh memanfaatkan kemudahan makan di kedai bermula Jumaat.
Bagaimanapun kebenaran itu hanya mereka yang telah melepasi tempoh 14 hari selepas vaksinasi dos kedua dan berharap orang ramai dapat mematuhi SOP yang ditetapkan.