KUALA MUDA - Kerajaan Kedah akan menyegerakan baik pulih infrastruktur akibat tragedi kepala air di Gunung Jerai yang menjejaskan penduduk di Yan serta Merbok pada Rabu.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerja-kerja berkenaan termasuk pembersihan saliran, jalan dan kemudahan serta jambatan yang menjadi laluan utama.
Katanya, kerja-kerja itu dijangka mengambil sedikit masa sebelum keadaan pulih seperti sedia kala.
"Semalam (Khamis), saya sudah berbincang bersama Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Zaini Ujang yang bersetuju meluluskan kerja pembaikan berjumlah RM5 juta di bawah belanja kecemasan.
"Selain itu kita turut mencadangkan Jambatan Sungai Tupah ditinggikan bagi membolehkan aliran air dari Gunung Jerai lancar dan mengelakkan limpahan air.
"Terdapat dua jambatan di Sungai Tupah yang perlu dinaik taraf membabitkan kos kira-kira RM20 juta setiap satu. Kita akan segerakan projek ini tetapi mungkin akan mengambil sedikit masa," katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan sekitar Hutan Rekreasi Tupah dan penempatan penduduk di Taman Lembah Merbok di sini pada Jumaat.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan membina projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Tupah bagi menakung air dari Gunung Jerai untuk kegunaan ketika musim kemarau.
"Gunung Jerai mempunyai banyak sumber air malah kawasan Merbok juga bergantung kepada bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Tupah sebagai sumber utama.
"TAPS baharu ini mungkin dibina lebih besar bagi menampung sumber air Gunung Jerai dan boleh digunakan oleh penduduk sementara menunggu LRA Bukit Selambau siap,” katanya.
Muhammad Sanusi memberitahu, penduduk setempat turut mengalami masalah bekalan air bersih buat sementara waktu kerana LRA Tupah tersumbat akibat fenomena itu.
"Bagaimanapun Syarikat Air Darul Aman (SADA) sudah menghantar 15 lori tangki air bagi memudahkan penduduk mencuci rumah.
"Selain itu, kita juga sudah meminta bantuan Bomba Sukarela untuk mengepam air Sungai Tupah ke dalam tangki statik untuk kegunaan orang ramai," katanya.