Teruslah berdoa agar negara kembali pulih daripada Covid-19: Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat supaya terus berdoa agar keadaan negara kembali pulih daripada pandemik Covid-19.

"Berdoalah agar kita semua sentiasa dilindungi Allah SWT dari virus Covid-19 dan diberi kekuatan untuk menempuh ujian, cabaran dan rintangan daripada pandemik ini.

"Mudah-mudahan keadaan akan beransur pulih dan negara Malaysia yang kita cintai ini akan sentiasa aman, makmur dan bangkit menjadi lebih kuat dari sebelumnya, Insya-ALLAH,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya pada Jumaat.

Muhyiddin berkata, dengan berpandukan kepada jalan Allah, al-Quran dan sunnah, beliau yakin dan percaya hidup akan lebih tenang dan bermakna.

"Do not do what you feel is right. Do what Allah say is right. Do what is right. (Jangan buat apa yang kita rasa betul. Buat yang apa yang Allah perintah. Buat apa yang betul). Kepada ALLAH SWT jualah kita berserah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa mengambil langkah proaktif dan setiap individu bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan serta kesihatan terpelihara ketika berada di khalayak ramai termasuk di masjid dan kawasan awam lain.

"Alhamdulillah, hari ini saya dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara bersama jemaah yang lain di bawah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang teratur dan ketat,” katanya. - Bernama