Dine in: Pengusaha kedai makan di Shah Alam belum bersedia

Iklan
Seorang pelanggan mempamerkan sijil digital vaksin Covid-19 yang dicetak sebelum memasuki sebuah restoran di seksyen 3 pada Jumaat. - Foto Sinar Harian / Mohd Halim Abdul Wahid.

SHAH ALAM - Pengusaha kedai makan di bandar raya ini dilihat belum bersedia membenarkan pelanggan lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 makan di premis mereka kerana angka kes positif masih tinggi.

Tinjauan Sinar Harian di Seksyen 16 dan Jalan Plumbum, di Seksyen 7 di sini mendapati, rata-rata pengusaha enggan mengambil risiko kerana bimbang berlaku penularan di restoran mereka.

Iklan
Iklan

Pemilik sebuah restoran di Seksyen 7 yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Halim, 50-an, berkata, ada pengusaha gembira kerana berpeluang untuk menambah pendapatan lebih tinggi.

Namun katanya, ada juga pengusaha yang bimbang sekiranya tidak dapat mengawal dan memastikan setiap pelanggan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Iklan

Selain itu katanya, masih ada dalam kalangan pekerja kedai makan malah di restoran yang ternama yang bimbang kerana ada dalam kalangan mereka yang belum lengkap dos kedua vaksin.

"Walaupun kerajaan telah membenarkan dine in bermula hari ini (Jumaat), tetapi pengusaha restoran sekitar dilihat masih belum yakin untuk benarkan pelanggan makan di dalam kedai.

Iklan

"Saya berpendapat, buat masa ini biarlah pelanggan beli secara bungkus ataupun pesanan menerusi servis penghantaran makanan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, tinjauan juga mendapati pengusaha kedai makan lebih selesa meneruskan penjualan bawa pulang bagi memastikan keselamatan semua pihak lebih terjaga.

Pada Khamis, individu yang telah menerima vaksinasi lengkap bagi negeri-negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk melakukan aktiviti dine-in di restoran bermula Jumaat.

Kemudahan itu adalah tambahan kepada kemudahan sektor sosial selepas dipersetujui dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Khamis.

Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, pengusaha-pengusaha premis kedai makan disaran supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

Beliau berkata, hal ini kerana risiko penyebaran virus Covid-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, pemilik premis kedai makan perlu memastikan individu yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil vaksinasi Covid-19, bagi mengesahkan individu terbabit telah menerima vaksinasi lengkap.

"Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi SOP yang ketat," katanya.