KPDNHEP beri amaran patuhi SOP dine-in

Iklan
Hasnol (tengah) bertanya sesuatu kepada pembantu premis ketika melawat RiVAC di Gurney Paragon pada Jumaat.

GEORGETOWN- Orang awam dan pemilik perniagaan terutamanya premis makanan dinasihatkan agar berhati-hati dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan Ops Samar yang dijalankan Kementerian Perdagangan Daam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, kementerian itu akan menempatkan 2,000 anggota penguatkuasa berpakaian preman untuk memantau pematuhan SOP di semua 22 sub-sektor perdagangan dan pengedaran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penguatkuasaan itu juga akan tertumpu kepada kawasan hot spot atau lokasi yang banyak menyediakan perkhidmatan dine-in.

"Kita akan mengadakan rondaan secara konsisten di kawasan tumpuan dan hot spot untuk memastikan kelonggaran yang diberikan kerajaan ini dipatuhi dan tidak disalahguna.

Iklan

"Anggota kita akan membuat rondaan tanpa memakai pakaian seragam untuk memerhati pelanggan dan pemilik premis. Ia termasuk mematuhi SOP dine-in dan mengimbas aplikasi MySejahtera.

"Hati-hati kerana kemungkinan yang berada di sekeliling anda adalah anggota penguatkuasa kita yang sedang memantau pematuhan SOP," katanya pada sidang media selepas meninjau Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di Gurney Paragon di sini pada Jumaat.

Iklan

Katanya, selain perniagaan yang menyediakan dine-in, operasi pemantauan itu juga akan tertumpu di perniagaan yang memerlukan pemilik premis dan pelanggan duduk berdekatan seperti kedai gunting rambut.

Dalam pada itu, Hasnol berkata, sejak pelaksanaan penguatkuasaan yang dijalankan KPDNHEP dari 13 Mei tahun lalu hingga Khamis, 730,687 premis diperiksa dan 839 kompaun (kes) direkodkan.

"Nilai kompaun yang dikumpul daripada kesemua kes itu adalah RM4.45 juta. Berdasarkan statistik, pematuhan dalam sektor perdagangan dan pengedaran telah mencapai tahap memuaskan dengan 98.73 peratus.

"Hanya 0.08 peratus premis yang dikenakan kompaun dan 1.07 peratus telah diberi nasihat dan amaran," katanya.

Sementara itu, Hasnol berkata, program RiVAC kini dilaksanakan di Lembah Klang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka akan diperluas ke Kedah, Perak dan Pahang dalam masa terdekat.

"Kita masih perhalusi kapasiti dan jumlah majikan yang mahu menggunakan kemudahan pemberian vaksin Covid-19 kepada pekerja mereka menerusi program RiVAC ini.

"Perbincangan lanjut dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan dijalankan berhubung dengan cadangan pelaksaaan program RiVAC di lokasi lain selepas ini,'' katanya.