SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan membuka semula perkhidmatan 12 cawangannya di daerah secara janji temu mulai Isnin depan.
LZS dalam satu kenyataan memaklumkan, waktu operasi bagi cawangan LZS berdasarkan hari bekerja bermula dari jam 10 pagi hingga jam 2 petang.
Bagaimanapun, kenyataan itu memberitahu, cawangan Kompleks UTC Shah Alam akan beroperasi setiap hari kecuali pada cuti umum dengan waktu operasi sama seperti di cawangan LZS.
"Sehubungan itu, orang ramai yang ingin berurusan dengan LZS boleh melayari www.zakatselangor.com.my/janjitemu untuk membuat janji temu," kata kenyataan itu pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu, slot janji temu itu boleh ditempah selewat-lewatnya empat jam sebelum waktu operasi cawangan bermula.
"Namun ia tertakluk kepada kekosongan slot janji temu di cawangan pada hari tersebut.
"LZS ingin menasihatkan pelanggan yang menghadiri janji temu untuk sentiasa mengemas kini status risiko Covid-19 masing-masing pada aplikasi MySejahtera dan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan wabak," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu, selain berurusan di cawangan, LZS turut menyediakan platform dalam talian untuk memudahkan masyarakat.
"Bagi mereka yang ingin membuat pembayaran zakat, ia boleh dilakukan di fpx.zakatselangor.com.my atau memuat turun aplikasi mudah alih Zakat Selangor secara percuma di Google Play Store untuk versi android dan Apple App Store untuk versi iOS," katanya.
Jelas kenyataan itu, permohonan bagi kes-kes kecemasan boleh menghubungi Penolong Amil Kariah (PAK) atau pegawai agihan dengan merujuk www.zakatselangor.com.my/koad-and-eoad.
"Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343 atau live chat di www.zakatselangor.com.my yang beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 4 petang," katanya.