Pantau pihak kaitkan pembalakan dengan kepala air Gunung Jerai

Iklan
Pasukan keselamatan memotong pokok tumbang yang dihanyutkan oleh banjir besar bagi membuka laluan selepas air surut. Gambar kecil: Zulkifli Yahaya

ALOR SETAR - Pihak yang berterusan mendakwa kerajaan Kedah membenarkan aktiviti pembalakan di Gunung Jerai sehingga berlaku fenomena kepala air akan dipantau bagi mengelak kekeliruan kalangan masyarakat.

Ketua Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya berkata, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan beberapa agensi berkaitan telah mengesahkan tiada aktiviti pembalakan sama ada berlesen atau secara haram di Hutan Simpan Gunung Jerai.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hutan tersebut diwartakan sebagai Hutan Perlindungan.

"Laporan polis akan dibuat sekiranya masih ada pihak berterusan membuat dakwaan itu. Ini kerana hantaran di Facebook oleh beberapa individu berkaitan dakwaan aktiviti pembalakan sebagai punca berlaku kepala air dari puncak Gunung Jerai, boleh membangkitkan kemarahan terhadap pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

BERITA BERKAITAN: Tiada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai: MB Kedah

Bagaimanapun, sebelum ini satu laporan polis sudah dibuat berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kota Setar pada Khamis.

Iklan

Zulkifli berkata, laporan itu dibuat agar tindakan diambil terhadap beberapa pemilik akaun Facebook terbabit kerana memuat naik hantaran yang mengelirukan, menghasut serta menimbulkan kemarahan orang ramai.

"Antara hantaran yang dikesan di Facebook pada Khamis, seorang pemilik akaun telah memuat naik video bencana banjir kilat di Yan dan Gurun dengan membuat status, gambar-gambar kerosakan akibat pembalakan di Kedah dengan mengaitkan pemimpin tak berakal dan membiarkan ramai hilang nyawa.

Status oleh pemilik lain pula mengaitkan banjir terbesar di Yan dan Tupah dengan balak dihanyutkan kononnya mendedahkan aktiviti pembalakan sekitar Gunung Jerai,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap polis menjalankan siasatan dan tindakan diambil terhadap individu berkenaan di bawah Seksyen 233(1 )(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Seksyen 509 Kanun Keseksaan atau Seksyen yang bersesuaian.