'Semoga ALLAH permudahkan kerja Papa tadbir negara'- Dafi

Iklan
Penyanyi terkenal, Dafi memanjat kesyukuran kepada ALLAH di atas pelantikan ayahnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.
KUALA LUMPUR- Sebaik menerima khabar pelantikan ayahnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan, penyanyi terkenal, Dafi memanjat kesyukuran kepada ALLAH.

Bagi Dafi, rezeki yang tertulis buat bapanya dipilih sebagai Perdana Menteri merupakan anugerah tertinggi daripada Yang Maha Esa berkat dedikasi dan kerja kerasnya selama ini.

"Saya terlalu gembira buat Papa. Kerja kerasnya serta disiplinnya akhirnya memberikan hasil. Ini semua kejayaan peribadi Papa, saya dan adik-beradik lain serta ibu hanyalah sistem sokongan buatnya.

Iklan
Iklan

"Papa tidak akan menjadi Perdana Menteri kalau bukan kerana komitmen luar biasanya pada negara. Saya amat yakin Allah hadirkan rezeki ini buat Papa kerana Papa mampu untuk memikul amanah rakyat,” kata bintang kelahiran program realiti, Akademi Fantasi itu kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Dilantik sebagai pentadbir urusan negara dan rakyat, Ismail Sabri disifatkan Dafi adalah sumber inspirasi buat mereka sekeluarga.

Kata Dafi, ayahnya tidak pernah mengeluh sekalipun sering pulang lewat ke rumah kerana terikat dengan kerja.

Iklan

Bahkan, ketika mengendalikan krisis kesihatan semasa pandemik Covid-19 juga, ayahnya, jelas Dafi, sangat tenang melaluinya sekalipun dalam masa sama terlalu banyak tekanan yang diterima.

"Saya mengagumi tahap kesabaran Papa. Saya fikir, Papa berhak mendapat apa yang diperolehnya sekarang kerana dedikasinya.

Iklan

"Doa saya semoga Allah permudahkan kerja Papa mentadbir negara. Kami keluarganya menyedari Papa mengambil alih negara dalam suasana penuh gelora.

"Namun, berkat pengalaman Papa, saya amat yakin Papa akan dapat mengharungi segala cabaran dan rintangan,” jelas penyanyi yang pernah masyhur dengan lagu Bila Terasa Rindu itu lagi.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat. - Awani