SHAH ALAM - Penyanyi dan pelakon terkenal tanah air, Datuk Jamal Abdillah mengharapkan sebuah kerajaan yang stabil dan mampu memberikan fokus kepada cara mengatasi masalah ekonomi dan pengangguran akibat pandemik Covid-19.
Penyanyi Ghazal Untuk Rabiah itu turut menggesa semua pemimpin politik bersatu bagi menjamin kestabilan politik yang menyeluruh supaya negara dapat menangani Covid-19 dengan lebih baik.
"Kita harap semua pemimpin politik yang ada sekarang ini tidak kira parti mana akan lebih memikirkan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.
"Kestabilan politik memerlukan semua pihak bersatu manakala antara parti yang pelbagai ini pula mesti bekerjasama melontarkan idea untuk membantu negara. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pelakon filem Azura itu juga berharap semua parti politik mula menyediakan ruang kepada pemimpin muda yang dilihat memiliki potensi lebih baik dalam tempoh lima ke 10 tahun yang akan datang.
Menurutnya, kepimpinan politik negara perlu sedar bahawa zaman sudah berubah dan negara ketika ini lebih memerlukan individu yang memahami cabaran semasa dalam negara.
Beliau berpendapat Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan pemimpin masa depan.
"Mereka lebih sebati dengan keadaan dan peredaran dunia sekarang,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, budaya politik yang mengagung-agungkan seseorang pemimpin dan parti politik juga perlu diubah daripada pemikiran masyarakat Malaysia.
Katanya, ia termasuk amalan mengampu dan tindas-menindas yang dilihat seakan sudah berbudaya dalam politik negara.
"Walaupun di sebelah pembangkang, tapi isu yang dibincangkan dalam Parlimen itu sepatutnya boleh dibincangkan dengan lebih baik dan terhormat.
"Masyarakat mahu lihat isu yang dibincangkan dengan lebih sihat dan terhormat, bukannya dengan cara jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain.