MELAKA - Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan akan memberikan semangat dan harapan baharu terhadap ekonomi serta kestabilan negara.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pelantikan itu juga dapat menyuntik sinar kekuatan baharu kepada rakyat untuk bersama-sama mengharungi apa jua rintangan dalam menghadapi cabaran besar khususnya berkaitan pengurusan kesihatan.
Menurutnya, apa yang diharapkan, pentadbiran Perdana Menteri akan terus berjalan lancar dan teguh pada landasan yang benar, terutama dalam mendepani pandemik Covid-19.
Katanya, ia sekali gus menjadi titik merapatkan kembali saf muafakat setiap parti politik untuk turut sama berganding erat, bukan setakat bergandingan memulihkan ekonomi malah dalam memacu kegemilangan serta menjunjung maruah Malaysia di persada antarabangsa.
"Lakukanlah yang terbaik demi Malaysia, saya dan seluruh kepimpinan negeri Melaka sememangnya percaya, Datuk Seri Ismail Sabri mampu menyudahinya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Tambah Sulaiman, pentadbiran negeri akan terus komited dalam mengukuhkan permuafakatan untuk bekerjasama lebih rapat dan erat dengan kepemimpinan Ismail Sabri di peringkat Persekutuan.
"Seterusnya kita mampu bangkit pulih ekonomi untuk terus maju membangun, demi kesejahteraan rakyat seluruhnya, baik di negeri Melaka dan negara Malaysia, mahupun ke seantero dunia," katanya.