Indonesia gagalkan plot serangan ketika sambutan Hari Kemerdekaan

Iklan
Lebih 200 terkorban dalam insiden pengeboman di Bali pada 2002. - Foto: Agensi

JAKARTA - Kumpulan yang mendalangi pengeboman Bali pada 2002 didakwa merancang serangan baharu ketika sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-76 pada Selasa lalu, menurut polis pada Jumaat.

Rancangan itu terbongkar susulan penahanan kira-kira 53 suspek di hampir 12 wilayah dalam siri operasi dilancarkan di seluruh negara sejak minggu lalu.

Iklan
Iklan

"Beberapa suspek mengakui mereka adalah anggota Jemaah Islamiyah (JI)," kata jurucakap Polis Nasional, Argo Yuwono tanpa memberikan butiran lanjut tentang plot serangan itu.

Beliau bagaimanapun mendedahkan sejumlah senjata api berjaya dirampas pihak berkuasa.

Iklan

Difahamkan, JI yang didakwa mempunyai kaitan dengan al-Qaeda telah dibubarkan selepas insiden pengeboman di kelab malam terletak di pusat peranginan terkenal itu yang turut meragut lebih 200 nyawa termasuk pelancong asing.

Pertubuhan itu didakwa telah ditubuhkan semula selepas pemimpinnya, Abu Bakar Bashir dibebaskan dari penjara.

Iklan

"Operasi ini bertujuan melenyapkan pengaruh JI. Mereka bangkit semula dengan merekrut anggota baharu, memperoleh dana dan bekalan logistik serta senjata," ujar pegawai unit antikeganasan yang enggan identitinya didedahkan.

Sebelum ini, Indonesia berdepan siri serangan menggemparkan dilancarkan kumpulan militan termasuk yang menyatakan taat setia terhadap Daesh.

Pada Mac lalu, pasangan warga tempatan melancarkan serangan bom bunuh diri di sebuah gereja di Makassar di Pulau Sulawesi dan turut menyebabkan beberapa individu cedera. - AFP