ATAS kertas, Perak FC diramal berdepan tugas sukar apabila menanti kunjungan Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak pada Sabtu.
Namun, Perak FC tidak mahu mengalah lebih awal selepas menyedari mereka perlu meraih mata bagi mengelak terus berada dalam zon penyingkiran.
Penjaga gol Perak FC, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy berkata, kesemua pemain diingatkan untuk memberikan aksi terbaik masing-masing dalam usaha membawa pulang tiga mata berharga.
"Insya-ALLAH... kami akan cuba sehabis baik berdepan Selangor untuk meraih kemenangan sebagaimana yang diharapkan. Kami tidak boleh lagi keciciran mata.
"Baki perlawanan yang ada ini cukup penting buat kami mengutip seberapa mata yang boleh. Ikutkan kami masih mampu mengelak daripada tersingkir ke Liga Premier.
"Jadi saya anggap perlawanan menentang Selangor ini sebagai penentu awal nasib kami. Harap semuanya baik seperti dirancang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Selepas mengharungi 18 perlawanan, Perak FC berada di tangga ke-11 apabila mengumpul 13 mata - ketinggalan tiga mata di belakang Melaka United FC yang menduduki tangga ke-10.
Berbaki empat perlawanan termasuk aksi menentang Selangor FC, skuad The Bos Gaurus itu wajib menang bagi mengelak tersingkir buat kali pertama ke saingan Liga Premier.