KAMPUNG GAJAH -"Deme jadi menteri kita ni rakyat sokong, susah payah kita sokong deme, dah deme jadi menteri nak potong pulak pendapatan kita."
Itu antara luahan pesawah Jelapang Padi Seberang Perak, Sitah Mat Lidin, 80-an, selepas kecewa dengan tindakan kerajaan sekarang tidak memberi subsidi baja padi sepenuhnya seperti kerajaan dahulu.
Malah nenek kepada lapan orang cucu ini menyuarakan hasrat untuk berhadapan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub bagi mendapat penjelasan mengenai tindakan kerajaan dalam isu berkenaan.
"Kalau ada yang nak buat jumpa menteri jom kita pergi, bila masa nak pergi bagi tahu, dia potong subsidi baja dan racun kita nak buat bendang dengan apa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Blok Pertanian Seberang Perak, di sini, hari ini.
Sitah merupakan antara lebih 100 pesawah dari Jelapang Padi Seberang Perak melibatkan Blok A,B,C dan D yang mengadakan perhimpunan serta mengumpul memorandum bagi mendesak kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengembalikan subsidi penuh baja padi seperti sebelum ini.
Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Bela Petani Seberang Perak, Mohd Razali Yahya berkata, lebih 100 pesawah berkumpul bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan yang gagal membekalkan dua komponen dalam subsidi baja padi iaitu baja tambahan NPK dan bantuan input pertanian racun serangga dan racun rumpai.
"Kita ingin mendesak kerajaan terutamanya MOA memberikan semula bantuan subsidi yang mana kami terima setakat ini hanyalah baja sebatian atau campuran dan baja urea, manakala baja tambahan NPK dan racun serangga serta racun rumpai belum diterima.
"Masalah ini memberikan kesan buruk kepada 4,720 pesawah di jelapang padi ini ekoran hasil tuaian akan mengalami kerugian sekiranya subsidi untuk baja NPK dan racun tidak diberikan dalam masa terdekat," katanya.
Tambahnya, sebelum ini pesawah boleh mengambil subsidi baja penuh sebelum mereka menabur padi setiap kali musim baharu.
"Ada di kalangan pesawah dah tabur padi dan ada yang berusia 20-30 hari tetapi pesawah masih tidak mendapat bantuan subsidi baja NPK, racun rumpai dan serangga," katanya.
Mohd Razali berkata, pihaknya berharap agar kerajaan melalui MOA melihat nasib mereka dan mengembalikan semula subsidi baja padi seperti sebelum ini kerana pendapatan mereka bergantung kepada kegiatan menanam padi.