Angkasa yakin institusi koperasi maju di bawah kerajaan baharu

Iklan
Abdul Fattah

SHAH ALAM- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yakin institusi koperasi akan terus dipacu melalui kerjasama kerajaan dan agensi yang terlibat dengan pembangunan gerakan koperasi dalam merangsang pertumbuhan ekonomi secara berkesan.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama antara Angkasa dan kerajaan akan terus diperkasa untuk meningkatkan sumbangan gerakan koperasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain memanfaatkan anggota koperasi dan rakyat dalam menangani isu peningkatan kos sara hidup.

Iklan
Iklan

"Kami menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah diperkenan pelantikannya oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Angkasa sebagai badan induk yang mewakili gerakan koperasi negara di peringkat nasional dan antarabangsa bersedia bekerjasama dengan kepimpinan Perdana Menteri bagi meneruskan agenda pembangunan negara khususnya meningkatkan taraf ekonomi rakyat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) itu juga berkata, Angkasa sentiasa bekerja keras memastikan koperasi terus menjadi jentera pemacu sosio ekonomi dalam mendepani krisis kesihatan yang memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan pertumbuhan ekonomi pada masa kini.

Jelasnya, bagi memastikan gerakan koperasi terus maju ke hadapan, agenda pembangunan institusi perlu bergerak seiring dengan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom) 2021 hingga 2025 dan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN2030) serta agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Iklan

Tambah Abdul Fattah, ia supaya gerakan ini kekal relevan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran serta dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada anggota koperasi, masyarakat serta negara.

"Angkasa yakin dan percaya gerakan koperasi terus dimantapkan peranannya dan lebih progresif dengan kepimpinan Perdana Menteri yang pernah memegang portfolio koperasi sebagai Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada tahun 2009 hingga 2013.

"Antara sumbangan beliau ketika menerajui kementerian tersebut termasuklah memulakan pembentukan Deklarasi Putrajaya yang dipersetujui antara Angkasa, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) pada tahun 2012 yang memberi tanggungjawab kepada koperasi Angkasa untuk menggerakkan ekonomi koperasi seluruh negara.

"Ismail Sabri turut memberi sokongan kepada program yang menghimpunkan sejuta koperator pada Hari Koperasi Negara pada tahun 2012, memberi peruntukan melalui Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPb) kepada koperasi sekolah yang menjayakan Hari Koperasi Sekolah bermula tahun 2009 dan memulakan kempen penubuhan Koperasi Kariah Masjid,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Fattah turut mengucapkan terima kasih kepada pimpinan kerajaan terdahulu yang telah memberikan sokongan terhadap gerakan koperasi melalui pelbagai inisiatif, pakej rangsangan dan bantuan.