DUNGUN - Dugaan buat seorang bapa kepada tiga anak dari Kampung Balai Besar, di sini apabila bayinya yang berusia 10 bulan mengalami masalah usus dan memerlukan RM18,000 bagi bagi menampung kos pembedahan.
Shakur Ismail, 36, yang tidak mempunyai pendapatan tetap akibat pandemik Covid-19 terpaksa meraih simpati orang ramai kerana bayinya, Nur Nadia Husna perlu menjalani pembedahan kali kedua.
Dia berkata, sebelum ini bayinya telah menjalani pembedahan kali pertama di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Julai lalu, namun bayaran kos perubatan yang masih tertangguh menyebabkan dia terpaksa menunggu untuk mendapatkan rawatan seterusnya.
"Ketika dilahirkan bayi saya sihat dan normal namun tahap kesihatannya merudum sejak mengalami demam selepas beberapa bulan dilahirkan.
"Saya segera merujuk ke HSNZ dan bayi saya ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) selama tiga hari sebelum doktor mengesan saluran ususnya tersekat.
"Doktor beritahu dia perlu jalani pembedahan segera bagi mengelak tahap kesihatannya bertambah buruk," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ditanya mengenai kos rawatan yang agak tinggi dikenakan oleh hospital kerajaan, Shakur yang berasal dari Kedah berkata, ia disebabkan isu dokumen perkahwinannya bersama isteri yang merupakan warga Thailand.
"Saya ada masalah berkaitan dokumen perkahwinan bersama isteri. Jadi saya terpaksa membuat bayaran penuh bagi perkhidmatan kesihatan yang diterima.
"Bagaimanapun, pihak hospital memberi kelonggaran untuk bayi saya jalani dahulu rawatan ketika pembedahan kali pertama dan membuat bayaran secara ansuran," katanya yang telah 20 tahun menetap di Terengganu.
Shakur yang bekerja sebagai tukang rumah mengakui pendapatannya kini agak berkurangan kerana peluang kerja agak sukar susulan pandemik Covid-19.
"Sekarang nak kerja pun susah. Pendapatan pun berkurangan. Ada kala terpaksa juga ikat perut dan bergantung harap terhadap ihsan komuniti setempat.
"Mujurlah pemimpin setempat ada menyalurkan sumbangan makanan kepada kami sekeluarga. Ia sedikit sebanyak membantu saya melalui tempoh sukar ini," katanya yang mempunyai dua lagi anak berusia tujuh dan empat tahun.
Mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Shakur di talian 017-9522192.