Tanjak Jalur Gemilang mini laris dijual

Iklan
Shahrolnizam menunjukkan tanjak Jalur Gemilang mini yang dihasilkan sempena sambutan bulan kemerdekaan.

PONTIAN - Siapa sangka tanjak Jalur Gemilang mini yang dihasilkan sebagai cenderamata menerima permintaan menggalakkan terutama pada Bulan Kemerdekaan.

Mohd Shahrolnizam Ab Rahman, 39, berkata, idea menghasilkan tanjak Jalur Gemilang mini itu timbul selepas merasakan tanjak bersaiz lebih kecil sesuai dijadikan hiasan.

Iklan
Iklan

Katanya, penghasilan tanjak Jalur Gemilang mini bermula pada tahun ini dan tidak menyangka tempahan banyak diterima dari luar Johor terutama Kuala Lumpur.

"Tanjak Jalur Gemilang mini diperbuat daripada dua helai Jalur Gemilang bersaiz sederhana. Pengeras bergam digunakan untuk mendapatkan bentuk tanjak yang lebih cantik dan kemas.

Iklan

"Kemudiannya tanjak akan dilipat. Setiap tanjak mempunyai nama seperti Nakhoda Trong, Takur Tukang Besi, Lang Menyongsong Angin, Pancung Tak Bertanya dan Ayam Patah Kepak.

"Selain itu ada juga tanjak Balung Ayam, Balung Raja, Tok Beruas, Bugis Tak Balik dan Dendam Tak Sudah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Taman Megah di sini.

Iklan
Shahrolnizam menunjukkan cara melipat kain untuk dijadikan tanjak.

Mohd Shahrolnizam yang sudah enam tahun berkecimpung dalam pembuatan tanjak berkata, dia mempelajari seni itu melalui YouTube.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai kerani di sebuah bank. Saya memilih untuk berhenti kerja pada 2015 dan memulakan kerja- kerja pembuatan tanjak sebagai sumber pendapatan sampingan,” katanya.

Menurut Mohd Shahrolnizam lagi, setakat ini dia sudah menghasilkan 300 tanjak Jalur Gemilang mini sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan.

"Tanjak Jalur Gemilang mini ini dipromosikan menggunakan media sosial seperti Facebook dan mendapat sambutan terutama daripada peminat tanjak. Ia dijual pada harga RM20,” katanya.

Tanjak Jalur Gemilang mini kelihatan cantik dan kreatif.