Tenaga tempatan mampu perkuat Harimau Malaya

Iklan
Tiga pemain naturalisasi membarisi skuad Harimau Malaya pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai Jun lalu.

KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menangguhkan sementara program pemain naturalisasi tidak akan memberikan kesan besar kepada skuad Harimau Malaya.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, kemunculan ramai pemain tempatan khususnya tenaga muda yang berpotensi besar ketika ini memberikan kelegaan kepada barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.

Iklan
Iklan

Malah, Cheng Hoe mendedahkan kebanyakan pemain terbabit cukup bersemangat dan memiliki keinginan tinggi untuk menggalas cabaran bersama Harimau Malaya.

"Pada pendapat saya, kalau tanpa pemain naturalisasi, pasukan tidak begitu terkesan kerana kita masih ramai pemain tempatan yang boleh menggalas tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.

Iklan

"Kalau kita tengok dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sekarang, ramai pemain muda yang boleh diketengahkan untuk menyarung jesi pasukan kebangsaan.

"Ada antara mereka yang sudah pun beraksi dengan pasukan kebangsaan. Jadi saya harap mereka akan sentiasa tingkatkan prestasi masing-masing,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Iklan

Terdahulu, FAM membuat keputusan menangguhkan sementara program naturalisasi Harimau Malaya ekoran prestasi hambar pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai Jun lalu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu, keputusan menangguhkan projek tersebut bagi memberi laluan buat tiga jawatankuasa teknikal untuk meneliti keberkesanan program itu.

Jawatankuasa terbabit terdiri daripada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan, Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia serta Jawatankuasa Program Naturalisasi.

Pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Harimau Malaya dibarisi tiga pemain naturalisasi - Mohamadou Sumareh dari Gambia, Liridon Krasniqi (Kosovo) dan Guilherme de Paula (Brazil).