SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu parti itu menolak semua jawatan dalam kabinet sebagai salah satu strategi dan persediaan bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, laporan berkenaan tidak betul.
"Tidak betul. Palsu sahaja,” katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut satu portal berita, Muhyiddin dilaporkan mahu Bersatu menolak semua jawatan dalam kabinet sebagai salah satu strategi dan persediaan parti itu memenangi PRU15.
Laporan itu yang memetik sumber berkata, Muhyiddin mencadangkan perkara tersebut dalam Mesyuarat MPT yang berlangsung baru-baru ini.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Rosol yang merupakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu turut menafikan jawatan dalam kabinet ada dibincangkan dalam mesyuarat MPT Bersatu baru-baru ini.
"Tidak ada,” katanya ringkas.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan turut menafikan laporan berkenaan.
"Saya cadangkan kepada semua supaya merujuk sumber berita yang sahih. Kandungan laporan itu adalah palsu yang sumbernya entah siapa," katanya.