TUMPAT - Seorang lelaki sanggup melepaskan 'gian' dengan menghias rumahnya di Kampung Dalam Pagar, Pasir Pekan Hilir, di sini dengan menggunakan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos depan.
Murtadhatumizi Mustapha, 27, berkata, idea menghias rumah itu timbul apabila tiada sebarang aktiviti untuk sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
"Saya akui semangat menyambut Hari Kemerdekaan sedikit suram dalam suasana pandemik ketika ini. Sebelum ini pelbagai acara boleh dilakukan untuk meraikan merdeka seperti berkonvoi, berkumpul dan sebagainya, namun kali ini semua itu hanya tinggal kenangan.
"Jadi bagi menyemarakkan lagi sambutan, saya telah membuat keputusan untuk mengeluarkan belanja dengan menghias rumah menggunakan Jalur Gemilang sebagai lambang kecintaan pada negara," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.
Menurutnya, meskipun negara sedang dilanda pandemik Covid-19, namun sambutan Hari Kebangsaan perlu disemarakkan sebagaimana sebelum ini.
Dia yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif MZ Gold, berkata, hal ini kerana banyak pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para pejuang terdahulu dalam membebaskan negara dari ancaman penjajah.
Murtadhatumizi berkata, sifat mencintai negara juga bukan hanya bermaksud memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain atau menghormati kepelbagaian bangsa dan agama, sebaliknya turut meliputi soal menjaga Jalur Gemilang.
"Saya berharap masyarakat menghormati dan menghargai Jalur Gemilang sebagai bendera kebangsaan negara dan tidak diperlakukan secara salah.
"Saya amat berharap mereka yang tidak menghormati Jalur Gemilang dikenakan hukuman berat," katanya.
Menurutnya, kibaran Jalur Gemilang itu turut dizahirkan kepada 'barisan hadapan' negara yang sedang bertungkus-lumus melawan pandemik Covid-19 ketika ini.
Katanya, tanpa kerja keras 'barisan hadapan' yang terdiri daripada pasukan keselamatan, petugas kesihatan dan sekarelawan, Malaysia tidak mungkin mampu berdepan ancaman wabak merbahaya itu.