Kerajaan Selangor pantau kanak-kanak alami masalah tumbesaran

Iklan
Dr Mohammad Farhan mengambil ukuran tinggi dan berat kanak-kanak untuk membuat pemantauan terhadap tumbesaran kanak-kanak tersebut.

PUCHONG - Kerajaan Selangor memantau perkembangan kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran akibat ketidakjaminan makanan ketika pandemik Covid-19 menerusi Program Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) 2021.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, seramai 500 kanak-kanak di seluruh negeri tersebut menerima manfaat daripada program berkenaan sejak diperkenalkan pada Mei lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program tersebut melibatkan kanak-kanak berumur antara satu hingga enam tahun daripada keluarga miskin tegar, kumpulan B40 dan orang asli yang mengalami masalah ketidakjaminan makanan, masalah tumbesaran seperti kekurangan berat badan dan penyusutan berat atau terbantut.

Program tersebut ujar Dr Siti Mariah dilaksanakan secara bulanan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan peruntukan RM986,000.

Iklan

"UNICEF mendedahkan sebanyak 53 peratus isi rumah berpendapatan rendah yang tinggal di bandar di Malaysia tidak berupaya menyediakan makanan mencukupi dan berkualiti untuk anak-anak sehingga terpaksa mencatu makanan semasa pandemik Covid-19.

"JKNS menjalankan siasatan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kota Damansara mendapati hampir 30 peratus kanak-kanak di sana mempunyai masalah tumbesaran, dari situlah timbul idea untuk melaksanakan program ini,” katanya ketika sidang media Pelancaran ASAS 2021 di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya, Kampung Sri Aman, di sini pada Sabtu.

Dr Siti Mariah

Iklan

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam UIAM, Dr Mohammad Farhan Rusli menjelaskan, seramai 55 kanak-kanak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang hadir bagi mendapatkan bekalan makanan kesihatan iaitu susu dan tablet vitamin.

Inisiatif tersebut dijalankan untuk kali ketiga bagi kawasan tersebut sejak Mei lalu.

Ujarnya, pemilihan dibuat secara tapisan mengikut klasifikasi yang ditetapkan sama ada mereka layak menerima bantuan tersebut atau sebaliknya.

"Antara kriteria untuk seseorang kanak-kanak menerima bantuan ini dinilai pada tahap tumbesaran, ekonomi dan pendapatan keluarga.

"Program yang akan dilaksanakan sehingga November ini adalah pemberian keenam bagi program tersebut, namun saya dimaklumkan inisiatif ini akan diteruskan hingga tahun depan untuk mereka yang layak,” katanya.

Salah seorang penerima, Azuana Rusli, 37, yang tinggal di Puchong Permai di sini berkata, program ASAS dapat membantu mengurangkan perbelanjaan untuk membeli susu anaknya, Muhammad Iffat Ismawawi, 4.

Ibu tunggal yang bekerja sebagai kerani itu dicutikan selama tiga bulan kerana syarikatnya masih menunggu kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi semula.

"Program susu sangat membantu ibu tunggal seperti saya kerana harga susu yang agak mahal, saya membelanjakan sebanyak RM150 untuk susu sahaja,” ujarnya.