SINGAPURA - REPUBLIK SINGAPURA. Menteri Pertahanan, Ng Eng Hen berkata Singapura akan membuat tempahan awal bagi empat jet pejuang F-35 untuk diuji secara menyeluruh, dengan pilihan menempah lapan lagi pesawat seumpamanya.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) akan mengemukakan satu Surat Permohonan (LOR) kepada Amerika Syarikat (AS) berkaitan pembelian itu.
"Kami akan mengeluarkan LOR bagi pemerolehan awal empat F-35, dengan pilihan untuk menempah lapan lagi jet pejuang sekiranya kami memutuskan untuk meneruskan pembelian tersebut.
"Seperti yang ditetapkan undang-undang AS bagi penjualan peralatan ketenteraan asing, Kongres Amerika harus meluluskan penjualan F-35," kata Eng Hen dalam ucapan perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MINDEF hari ini.
Harga bagi kesemua pesawat itu belum lagi dimuktamadkan, namun Eng Hen berkata jumlah keseluruhan bagi memiliki jet-jet F-35, termasuk kos penyelenggaraan sepanjang jet digunakan, setanding dengan program F-15SG.
"Harga unit bagi model F-35 buat masa ini adalah antara AS$90 juta (RM366 juta) dan AS$115 juta (RM468 juta) bagi setiap pesawat, iaitu setanding dengan harga pesawat F-15SG.
Menurut pengeluarnya Lockheed Martin, F-35B (pesawat yang mampu berlepas dan mendarat tegak) - berharga AS$115.5 juta (RM470 juta) dan Singapura berminat membelinya.
Pada Januari, MINDEF menyatakan ia mengenal pasti F-35 sebagai pengganti paling sesuai bagi pesawat-pesawat lama F-16, susulan satu penilaian teknikal yang dilakukan selama lebih lima tahun. - CNA