Pelantikan PM baharu, Ismail Sabri menjunjung kasih YDP Agong

Iklan
Al-Sultan Abdullah (dua dari kiri) dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua dari kanan) berkenan bergambar bersama Ismail Sabri (kiri) dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri Kesembilan di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan Seri Paduk Baginda melantiknya sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin parti politik termasuk ahli Parlimen Bebas yang menyokongnya untuk memimpin negara.

Iklan
Iklan

"Saya syukur kepada ALLAH dan izin-Nya, saya dilantik sebagai perdana menteri.

"Ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada rakan-rakan ahli Parlimen termasuk bebas dan ketua-ketua parti politik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pekarangan kediamannya di sini pada Sabtu.

Iklan

Naib Presiden UMNO itu juga merakamkan penghargaan kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan majlis tertinggi parti tersebut atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan akan membuat kenyataan rasmi kepada rakyat Malaysia pada Ahad susulan pelantikannya sebagai pemimpin nombor satu negara.

Iklan

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas setelah kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen. - Bernama