Hajiji mohon Hospital Tuaran dinaik taraf hospital pakar

Iklan
Gambar hiasan
TUARAN - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memohon supaya kerajaan Persekutuan menaik taraf Hospital Tuaran sebagai hospital pakar.

Hajiji berkata, kedudukan hospital itu yang berada di jalan utama bagi pembinaan jalan Pan Borneo dan laluan utama yang menghubungkan Bandaraya Kota Kinabalu, pantai barat utara dan pantai timur Sabah amat sesuai untuk dinaik taraf sebagai hospital pakar.

Katanya lagi, hospital itu masih mempunyai kawasan tapak pembinaan yang mencukupi, justeru usaha menaik taraf ke hospital pakar amat penting.

"Ini juga adalah permintaan daripada rakyat untuk mempunyai satu hospital pakar yang dilengkapi dengan kemudahan perubatan.

"Terutama ketika pandemik Covid-19, usaha menaik taraf Hospital Tuaran ini amat perlu dan kita berharap ia dapat direalisasikan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Sulaman pada Sabtu.

Tambah Hajiji lagi, dengan menaik taraf Hospital Tuaran sebagai hospital pakar ia akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kepakaran dalam bidang kawalan infeksi (jangkitan) dan menjadi surgical base.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berharap kerajaan Persekutuan dapat membantu membina klinik kesihatan di dua kawasan di Tuaran iaitu Sulaman dan Pantai Dalit.

"Dengan adanya kemudahan kesihatan ini, ia membolehkan penduduk setempat mendapat rawatan awal selain di hospital kerajaan," katanya.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Jasnih Daya dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai serta Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain.