KUALA LUMPUR - Polis masih berusaha untuk menghubungi penyanyi rap Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Caprice dalam satu hantaran menerusi halaman Instagramnya berkongsi satu nombor telefon untuk dihubungi oleh pihak polis atau sesiapa sahaja yang mencarinya.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya sudah cuba untuk menghubungi Caprice menerusi nombor telefon yang dikongsi di halaman media sosialnya itu.
"Nombor telefon itu pun baru saja dikemaskini selepas dapat tahu polis sedang berusaha mengesannya.
"Polis sudah menghantar mesej dan sedang tunggu dia beri maklum balas," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Dalam pada itu, menurut Ashari, pihaknya juga masih belum berjaya untuk menghubungi Nadir Al-Nuri dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan mereka berdua supaya dapat dirakam keterangan masing-masing.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan berkenaan tindakan polis yang memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan dua individu tersebut.
Menurut laporan berkenaan, kedua-dua individu tersebut dikesan untuk memberikan keterangan berhubung laporan yang dibuat pendakwah terkenal, Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 21 Julai lalu.
ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] PDRM mohon bantuan Interpol kesan Nadir, Caprice