KLUANG - Sebuah kedai emas kerugian kira-kira RM65,000 selepas 14 rantai emas dilarikan lima pelanggan wanita dari kedai tersebut di Jalan Datuk Tan Seng Leong, di sini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejadian kira-kira jam 5.30 petang Rabu lalu berlaku selepas seorang jurujual berusia 19 tahun didatangi lima pelanggan wanita yang mahu melihat rantai emas.
"Jurujual yang sedang bertugas itu menunjukkan 14 rantai emas tersebut kepada kesemua suspek dan selepas melihat rantai tersebut kelima-lima wanita dipercayai berketurunan Arab tersebut terus keluar dari kedai.
"Jurujual tersebut berasa was-was dan membuat semakan semula rantai emas tersebut dan mendapati 14 rantai emas hilang sebelum satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati salah seorang suspek tersebut memasukkan barang kemas ke dalam poket seluarnya manakala salah seorang suspek pula hanya melihat barang kemas di kaunter.
"Dua lagi suspek hanya melihat barang kemas yang ditunjukkan pengadu dan semasa melihat rantai emas tersebut, salah seorang suspek tersebut mengajak pengadu berbual manakala seorang lagi suspek memasukkan barang kemas ke dalam lengan baju dan poket.
"Tempat kejadian mempunyai rakaman CCTV namun tidak mempunyai pengawal keselamatan. Rakaman CCTV akan dianalisa untuk mendapatkan rupa paras setiap suspek dan usaha untuk mengesan serta menangkap suspek sedang giat dijalankan," katanya.
Mohd Abduh berkata, orang awam yang mempunyai maklumat boleh hubungi hotline 07-7784222 untuk bantu siasatan di bawah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.
"Pengusaha kedai emas dinasihatkan sentiasa peka dan berhati-hati terhadap kumpulan ini," katanya.