YAN - Sekurang-kurangnya empat kesan runtuhan besar dikesan pada gubir Gunung Jerai yang menyaksikan kejadian kepala air berlaku di gunung tersebut, dekat sini pada Rabu lalu.
Ketua Cawangan Kepakaran Geologi Kejuruteraan, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Dr Ferdaus Abdullah berkata, bagaimanapun penelitian secara terperinci masih dilakukan oleh pihaknya dalam mengenalpasti punca sebenar kejadian.
Dalam kejadian tersebut, empat meninggal dunia dan dua lagi masih hilang setakat Sabtu.
Menurut beliau, pihaknya masih memerlukan maklumat menggunakan dron bagi mendapatkan gambar udara untuk membantu mendapatkan bukti konkrit sebelum menentukan apa sebenarnya berlaku sebelum tragedi berkenaan.
"Daripada pemandangan secara visual yang saya nampak sekurang-kurangnya ada empat kesan tanah runtuh yang besar, pada gubir gunung tersebut.
"Berdasarkan maklumat daripada penduduk di sini asalnya kawasan runtuh itu ditutupi dengan tumbuhan dan tanah, selepas kejadian pada 18 Ogos itu keadaan batuan lebih luas dan itu menunjukkan runtuhan berlaku pada hari tersebut," katanya pada sidang akhbar di Pusat Rekreasi Titi Hayun dan Seri Perigi, dekat sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas melakuan pemantauan awal bersama Pasukan Task Force Bencana Geologi di sekitar Gunung Jerai.
Mengulas lanjut, Ferdaus berkata, sebelum kejadian, hujan juga berlaku pada kadar luar biasa dan didapati bentuk kawasan bercerun tinggi di gunung ini juga lebih 25 darjah selain mempunyai kesan retakan batuan kesan luluhawa.
"Ini adalah proses semula jadi apabila terdapat gabungan batuan dan jenis retakan tertentu pada batuan serta faktor penyumbang seperti hujan dan getaran, maka lokasi boleh berlaku tanah runtuh di mana-mana.
"Disebabkan itu, kita perlu dron untuk kenal pasti lokasi runtuhan dan melalui maklumat pemetaan kita akan tanda kawasan yang berlaku runtuhan bagi membolehkan pasukan penyiasat mengetahui sama ada berlaku banjir atau empangan di gunung yang menyebabkan kepala air,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Abdulah Sulaiman berkata, penilaian risiko juga perlu dilakukan pada kadar segera untuk mengelak sebarang kemungkinan agar kejadian sama tidak berulang di Gunung Jerai.
Menurutnya, bencana geologi tersebut juga dilihat mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku di Pos Dipang, Perak pada 1996.
"Selepas mendapat hasil kajian dan siasatan Gunung Jerai, kita akan membuat syor kepada pihak kementerian atau kerajaan tempatan cadangan yang perlu dipertimbangkan termasuk penilaian risiko untuk mengelakkan bencana berulang," jelas beliau.